
Panel dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah.
Selain itu, 4 hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, dan 1 hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun.
Pertelingkahan komersial itu melibatkan syarikat perkapalan JRI Resources Sdn Bhd (JRI) dan Kuwait Finance House (M) Bhd (KFH) di mana JRI mempertikaikan keputusan majlis berkenaan yang didakwa mengikat keputusan mahkamah sivil.
Terdahulu, JRI dibenarkan merujuk kepada mahkamah persekutuan sama ada keputusan Majlis Penasihat Syariah BNM yang dikatakan mengikat mahkamah sivil berperlembagaan atau sebaliknya.
Peguam JRI, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dalam hujahannya hari ini berkata majlis berkenaan terbukti melebihi fungsinya dalam menentukan persoalan syariah berdasarkan Seksyen 56 dan 57 Akta Bank Negara.
“Peruntukan ini secara efektifnya mengambil alih fungsi dan kuasa kehakiman,” katanya.
Peguam KFH, Yoon Sin Min pula berhujah peranan majlis berkenaan hanya menentukan persoalan syariah membabitkan perniagaan berunsurkan syariah dan bukannya membuat keputusan ke atas fakta kes yang dibawa ke mahkamah sivil.
Panel yang mendengar penghujahan semua pihak kemudian menangguhkan keputusan ke tarikh yang bakal ditetapkan.
Sebelum ini, barisan hakim paling ramai pernah mendengar kes di Mahkamah Persekutuan hanya 7 orang, bagaimanapun ia jarang berlaku.
Kes yang pernah diputuskan panel 7 hakim ialah menentukan permohonan gereja Katolik bagi mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan melarang penerbitan akhbar The Herald versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah, pada 23 Jun 2014.