SPRM digesa siasat Lokman dapat maklumat Zahid akan dipanggil

Khairuddin Abu Hassan mencadangkan SPRM dirombak semula bagi melindungi imej dan integriti agensi anti-rasuah itu serta mengelakkan kebocoran maklumat.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam bagi mencari “tali barut” dalam agensi itu yang membocorkan maklumat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil mereka Rabu ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, SPRM perlu memandang berat dakwaan Lokman mempunyai “kawan” dalam agensi itu membocorkan maklumat berhubung presiden Umno akan disoal siasat Rabu ini.

“Ini satu kenyataan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimana orang awam macam Lokman boleh buat ramalan tepat apa yang bakal berlaku dalam hal ehwal pentadbiran SPRM? (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull harus mengambil perhatian serius mengenai dakwaan Lokman.”

Terdahulu, Lokman mendakwa Zahid dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 10 pagi Rabu ini dan beliau akan ditahan serta didakwa di mahkamah, tetapi tidak jelas atas pertuduhan apa.

Zahid hari ini berkata, beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

“Kerjasama akan saya berikan sepenuhnya kepada pihak SPRM,” tulisnya di Twitter.

Awal Julai lalu, Zahid dipanggil SPRM 2 kali berhubung siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya dan perjumpaan dengan wakil kerabat diraja Arab Saudi yang dikatakan menderma wang kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Khairuddin yang juga bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan mencadangkan SPRM dirombak semula bagi melindungi imej dan integriti agensi itu serta mengelakkan kebocoran maklumat.

“Rahsia kerajaan tidak boleh dibocorkan atau terbocor secara sewenang-wenangnya. Ini menyalahi undang-undang.

“SPRM harus panggil dan tahan Lokman untuk siasat siapa yang membocorkan maklumat dalaman SPRM kepadanya.”

Sementara itu, Shukri ketika dihubungi FMT berkata, SPRM tidak akan menjalankan siasatan ke atas Lokman mahupun dakwaan “tali barut” dalam agensi itu seperti diminta Khairuddin.

“Tiada siasatan akan dibuat dalam SPRM.

“Datuk Lokman juga tidak ada buat apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM. Jadi, tidak perlu panggil beliau.”