Daerah Pengerang di Kota Tinggi ada ‘apps’ pelancongan tersendiri

Daerah Pengerang di Kota Tinggi ada ‘apps’ pelancongan tersendiri

"Pengerang Apps" menampilkan maklumat mengenai lokasi pelancongan, tempat penginapan, tempat makan terkenal selain jadual aktiviti pelancongan tempatan sepanjang tahun.

Mungkin ramai tidak tahu daerah Pengerang di Kota Tinggi, Johor mempunyai banyak tempat atau lokasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Kini tidak lagi kerana maklumat mengenainya boleh diperoleh dengan mudah menerusi aplikasi pintar yang dilancarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang di situ.

“Pengerang Apps”, yang dilancarkan oleh Naib Presiden Divisyen Kemajuan ICT Johor Corporation (JCorp) Rozana Rusli, dibangunkan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) dan menampilkan maklumat mengenai lokasi pelancongan, tempat penginapan, tempat makan terkenal selain jadual aktiviti pelancongan tempatan sepanjang tahun.

Turut hadir pada pelancarannya ialah Yang Dipertua PBT Pengerang Bukhari Abd Rahman dan Naib Presiden Telekom Malaysia Berhad Johor, Ahmad Nasri Mohamed.

Aplikasi itu, yang menyokong platform iOS dan Android dan boleh dimuat turun dari App Store dan Play Store, juga menyediakan ruang untuk masyarakat menyalurkan maklum balas dan aduan secara terus kepada PBT Pengerang.

PBT Pengerang dan TM membangunkan aplikasi itu sebagai platform untuk memenuhi keperluan gaya hidup digital dan mempercepatkan penyampaian maklumat, selain sebagai inisiatif untuk pengguna terutama pelancong yang berkunjung ke Pengerang.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada TM berkongsi keupayaan dan kepakaran dengan komuniti dalam membawakan produk serta perkhidmatan yang inovatif bagi menepati keperluan pelanggan, kata PBT itu dalam satu kenyataan.

Ia menaruh harapan kerjasama strategik itu dapat merancakkan lagi pembangunan Pengerang, sekali gus memastikan nikmat limpahan pembangunan dapat dirasai seluruh masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.