Bajet 2019: MTUC mahu B40, M40 dapat manfaat sama rata

Bajet 2019: MTUC mahu B40, M40 dapat manfaat sama rata

Kerajaan PH dilihat tidak prihatin terhadap 2 golongan isu rumah itu dan sering membuat sentimen negatif sejak mengambil pemerintahan daripada BN.

Masih ada jurang dari segi pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih fokus kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) yang dilihat semakin dipinggirkan.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata kerajaan baharu ini dilihat tidak prihatin terhadap 2 golongan isu rumah itu dan sering membuat sentimen negatif sejak mengambil tampuk pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tugas mereka untuk buat satu bajet untuk pastikan masyarakat mendapat manfaat. Selepas 61 tahun ini, walaupun negara kita kaya tetapi kekayaan tidak dikongsi secara saksama.

“Jika kita lihat bajet sebelum ini banyak dikeluarkan dan diberikan kepada syarikat dan majikan. Kalau benar selama ini buat bajet untuk kebaikan masyarakat hari ini, tidak mungkin jurang pendapatan orang kaya dengan miskin begitu jauh,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, media melaporkan masih ada jurang dari segi pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi menurut laporan Keadaan Isi Rumah 2018.

Laporan bertajuk “Realiti Berbeza” yang disediakan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 membelanjakan hampir 95% pendapatan mereka.

Selepas dikeluarkan kesan inflasi, isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 kurang berbelanja untuk makanan selain rekreasi dan khidmat budaya, kata laporan itu.

Perbezaan pendapatan purata antara isi rumah berpendapatan tinggi (T20) dengan M40 dan B40 adalah hampir 2 kali ganda, berbanding 2 dekad lalu.

Gesa gaji minimum RM1,800

Dalam pada itu, Solomon berkata kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,050 yang baru diumumkan amat tidak munasabah dan menggesa kerajaan menaikkannya kepada RM1,800.

Beliau berkata kos sara hidup yang tinggi menyebabkan golongan B40 lebih banyak mengeluarkan perbelanjaan berbanding pendapatan yang diperolehi.

“Lihat tempoh 2014 hingga 2016, walaupun pendapatan meningkat kepada 5.8% pada masa sama perbelanjaan meningkat sehingga 6%.

“Jadi golongan B40 tak merasa peningkatan bajet sebelum itu. Laporan bank sudah menyatakan gaji untuk kehidupan masa ini jauh daripada gaji minimum. Bank Negara juga mengatakan perlunya menjaga kepentingan pekerja,” katanya.

Solomon berkata kerajaan tidak boleh meningkatkan kehidupan golongan B40 dan M40 ini sama dengan kerajaan lama.

Beliau juga menyanggah tanggapan pelaburan asing mampu memberi manfaat kepada B40 dan M40.

“Kalau benar mereka cakap sehingga hari ini siapa dapat manfaat daripada pelaburan asing, kita lihat ramai B40 dan M40 merangkak mendapatkan pendapatan dan mereka terpaksa bersaing dengan kelulusan tinggi dan rendah,” katanya.

Solomon berkata kerajaan PH terhutang budi kepada rakyat yang memberi mandat kepada mereka untuk mentadbir kerajaan dan berharap kerajaan tidak memanjakan syarikat dan pelaburan asing lagi.

“Kita betul-betul harap jangan buat kesilapan sama. Walaupun dulu ada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berusaha tingkatkan pendapatan tetapi penyelesaian itu dalam jangka pendek.

“Tiada penyelesaian untuk rakyat dalam jangka masa depan. Penyelesaian jangka pendek tak selesaikan masalah golongan pendapatan rendah. Kerajaan PH harus ambil berat jika tidak rakyat akan terus kecewa,” katanya.

PR1MA belum mampu dimiliki B40, M40

Solomon berkata walaupun kerajaan menyediakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tetapi rakyat B40 dan M40 tetap tidak mampu memilikinya.

Beliau berharap kerajaan keluarkan satu rumah di mana semua masyarakat dapat memilikinya.

“Masa sekarang walaupun rumah PR1MA RM300,000, apa saya lihat apabila buat pinjaman, mereka kena bayar ansuran sampai RM1,700. Kalau gaji RM3,000 bagaimana mereka nak ‘survive’.

“Tetapi mereka perlu rumah juga. Apa yang kita cadang kerajaan harus gunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan B40 dapat beli rumah tanpa faedah.

“Supaya bayar ansuran tak banyak, dan boleh belanja untuk rumah mereka. Kalau kena ansuran tinggi memang mereka berhadapan kehidupan yang berhutang setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.