MTUC kembali berfungsi susulan pengiktirafan JPPM

MTUC kembali berfungsi susulan pengiktirafan JPPM

Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor kata keutamaan pertama adalah selesai tunggakan gaji pekerja di ibu pejabat serta bayaran tertunda lain.

Halim Mansor and Kamarul Baharin Mansor
JPPM mengiktiraf jawatankuasa kerja MTUC, yang termasuk Presiden Halim Mansor dan Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kembali berfungsi selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) mengiktiraf jawatankuasa kerja yang baru dipilih.

Berdasarkan senarai pemegang jawatan yang disahkan JPPM hari ini dan dilihat oleh FMT, Halim Mansor kekal sebagai presiden, manakala Kamarul Baharin Mansor — yang keahlian dipersoalkan oleh ahli gabungan — disahkan sebagai setiausaha agung.

Ketika dihubungi, Halim yang kini berada di luar negara, mengesahkan senarai tersebut adalah sah dan beliau memberi kuasa kepada Kamarul untuk mengendalikan semua isu tertunggak sepanjang ketiadaannya.

“Saya baru-baru ini telah bertemu dengan pegawai JPPM dan meminta campur tangan mereka untuk menyelesaikan beberapa isu pentadbiran seperti gaji kakitangan ibu pejabat dan bayaran lain yang tertahan sebelum ini kerana ketiadaan pengiktirafan,” katanya kepada FMT.

Kamarul berterima kasih kepada JPPM dan menyatakan keutamaan pertama adalah menyelesaikan tunggakan gaji pekerja di ibu pejabat serta bayaran-bayaran lain yang tertunda.

“Selepas ini, kami perlu memutuskan pelantikan wakil MTUC ke pelbagai badan berkanun, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Masalah ini timbul selepas selesainya krisis kepimpinan enam tahun dalam MTUC, melalui pemilihan tiga tahun sekali susulan campur tangan mahkamah pada Ogos.

JPPM pada mulanya tidak mengiktiraf jawatankuasa baharu tersebut selepas beberapa ahli gabungan mengemukakan aduan mengenai status keahlian Kamarul.

Akibatnya, MTUC tidak dapat menjalankan fungsi harian, sekali gus menyebabkan kesulitan pentadbiran kerana tiada penandatangan bank yang sah untuk membayar gaji kakitangan atau mengeluarkan dana bagi penyelenggaraan ibu pejabat.

Kamarul menegaskan beliau masih bekerja dan layak memegang jawatan tersebut selepas dicalonkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pengurusan Sisa Pepejal semasa pemilihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.