
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu menyokong pemisahan fungsi berkenaan dan berharap kerajaan melakukan perubahan seperti yang dijanjikan.
“Cuma di peringkat awal ini mungkin ada beberapa persoalan. Tetapi bagi PAS kita mengalu-alukan.
“Bagi PAS ini, kita pun memperjuangkan benda yang sama. Ada keperluan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Tuan Ibrahim juga memberi jaminan PAS akan menyokong sekiranya langkah itu di bawa ke Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun berkata Dr Mahathir mungkin memikirkan banyak faktor sebelum mambawa usul itu ke Dewan Rakyat.
“Sebab, sekiranya kerajaan bawa usul dan tidak lepas di Dewan Rakyat, dia melibatkan imej dan maruah.
“Mungkin yang keduanya ada keutamaan yang dilihat oleh Dr Mahathir tetapi kita menyambut baik soal pemisahan kuasa,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata kerajaan tidak mempunyai masalah untuk memisahkan fungsi pendakwa raya dan peguam negara sekiranya mendapat sokongan pembangkang.
Beliau mengakui langkah memisahkan fungsi itu memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan buat masa ini ia belum dapat dilakukan berikutan tidak yakin mempunyai sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya dan peguam negara terpaksa ditangguhkan buat masa ini.
Dr Mahathir berkata, ini kerana ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyarankan kerajaan mengajak ahli Parlimen pembangkang berbincang mengenai perkara itu.
Beliau berkata sekiranya pemisahan fungsi itu bagus sudah tentu ada yang akan menyokongnya.
“Kalau benda yang bagus kita sokong. Tak bagus sorry lah. Saya ini bukan pakar undang-undang, saya tak berapa tahu sangat.
“Tetapi kalau diasingkan itu maknanya lebih bebas lagilah. Kalau satu orang berkuasa sangat. Dia menyiasat, dia hukumkan, jadi saya rasa tak sesuai,” katanya.