
“Saya tidak akan merayu. Saya lebih suka Barisan Nasional (BN) berjuang demi rakyat dalam pilihan raya kecil daripada mengambil tindakan undang-undang.
“Tetapi, itu tidak bermakna saya bersetuju dengan penghakiman mahkamah,” katanya kepada FMT.
“Saya rasa penghakiman itu tidak adil kerana ia mengaitkan saya kepada amalan rasuah, tetapi lebih baik meneruskan perjuangan yang penting bagi kita.”
Katanya, mahkamah akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan PRK.
Beliau yang bekerja keras di kerusi Parlimen itu berkata, rakyat tahu usahanya untuk menambah baik kehidupan mereka dengan meneliti isu lalu lintas, pencemaran dan masalah perumahan di destinasi pelancongan itu.
Katanya, terpulang kepada Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran untuk menentukan calon PRK.
Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 597 undi.
Bagaimanapun, kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur bulan lalu, dengan alasan wujud elemen rasuah ketika berkempen.
Mahkamah Pilihan Raya mendengar petisyen difailkan calon DAP, M Manogaran pada 30 November lalu yang amalan rasuah terbukti berlaku dengan pengetahuan dan kebenaran Sivarraajh ketika tempoh berkempen di kerusi Cameron Highlands.
Dalam pendengaran petisyen itu, pemimpin Orang Asli mendakwa calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan kerusi DUN Jelai memberi keseluruhan RM2,100 kepada 6 Tok Batin bagi mendapatkan sokongan mereka, beberapa hari menjelang hari mengundi.
Tok Batin terbabit turut mendakwa mereka diberikan RM200 sebagai “duit rokok” atau wang saku sepanjang 12 hari berkempen.
Sivarraajh bagaimanapun menafikan memberi wang itu untuk meraih undi.