Jabatan Kesihatan Johor keluar 22 notis tak patuh larangan merokok

Jabatan Kesihatan Johor keluar 22 notis tak patuh larangan merokok

Sahruddin Jamal berkata, Jabatan Kesihatan Johor memeriksa 319 kedai makan di negeri itu.

Sahruddin Jamal berharap masyarakat dapat menolak budaya merokok dan semakin ramai perokok menghentikan tabiat itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Johor mengeluarkan 22 notis amaran, selepas memeriksa 319 premis makanan, susulan larangan merokok yang berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal dipetik Bernama sebagai berkata, sebanyak 957 risalah berhubung kawasan larangan merokok turut diedarkan setakat 3 petang tadi.

“Adalah diharapkan dengan perluasan kawasan larangan merokok ini, masyarakat dapat menolak budaya merokok di khalayak ramai dan semakin ramai perokok akan berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sahruddin berkata, perkhidmatan berhenti merokok turut disediakan di klinik kesihatan seluruh Johor dan maklumat berkaitan boleh diperolehi di http://jomquit.moh.gov.my.

Katanya, Jabatan Kesihatan Johor memulakan kempen larangan merokok di premis makan sejak bulan lalu melalui advokasi dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, persatuan penjaja dan peniaga, selain meningkatkan kesedaran orang ramai melalui media sosial serta radio.

“Justeru, kita menyeru semua pihak berganding bahu dalam memastikan peraturan ini dapat dipatuhi bagi memastikan Johor bebas asap rokok.”

Semua pemilik, pengusaha, tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan merokok, mereka boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga setahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini dilaporkan berkata, kerajaan akan menggunakan pendekatan pendidikan dan penerangan holistik dalam 6 bulan pertama di premis makanan, manakala denda terhadap perokok ingkar akan dikenakan selepas itu.

Katanya, ia adalah prosedur operasi standard supaya orang ramai lebih memahami dasar itu, sebelum hukuman dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.