
Ia bermula sejak 5 tahun lalu apabila jumlah bilik hotel berkurangan, ia membuka peluang kepada pengusaha homestay memanfaatkan situasi tersebut.

Seorang pengurus hotel dan apartment di Cameron Highlands, Muhammad Syafiq Nair berkata, kewujudan homestay tidak berdaftar juga tidak adil kepada pengusaha hotel dan apartment kerana mereka tidak dikenakan caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mencecah jutaan ringgit setahun.
“Rata-rata hotel berdaftar di kawasan Cameron Highlands dikenakan bayaran 6% SST (cukai jualan dan perkhidmatan), dulu GST. Sebagai contoh sebulan SST kena bayar RM192.
“Jadi kalau jumlah bilik ada 600 unit, anggaran SST patut dibayar setahun lebih kurang RM1.3 juta. Kalau itu diambil kira kepada homestay tidak berdaftar, jumlah cukai yang tidak dibayar kepada kerajaan RM1.3 setahun bukan sikit,” katanya ketika diwawancara FMT.
Syafiq turut mendakwa jumlah homestay tidak berdaftar di Cameron Highlands mencecah 1,000 unit.
Beliau barkata, kos pengurusan hotel berdaftar amat tinggi, selain caj SST, pihaknya perlu membayar lesen kepada Lembaga Pelancongan Malaysia bagi tujuan pengiklanan, selain turut dikenakan bayaran cukai pelancongan kepada pihak kastam.
“Kos operasi kami lebih kurang RM120,000 sebulan, lepas tolak semua termasuk gaji. Berbeza dengan 2 tahun dulu, kita dapat untung RM300,000 hingga RM400,000 sebulan.
“Kini keuntungan kami dalam lingkungan RM150,000 sebulan sejak lambakan homestey tidak berdaftar, kadang-kadang kami pernah dapat RM100,000 sebulan. Sebab itu pemilik terpaksa tambah duit sendiri untuk tampung kos,” katanya jumlah pendapatan bulanan berkurangan hampir 50%.
Syafiq tidak menolak pihaknya terpaksa menutup hotel jika aktiviti perniagaan di Cameron Highlands semakin merosot akibat homestay tidak berdaftar.
“Kalau benda ini berlarutan, kami terpaksa kurangkan kakitangan kami. Kedua, kita terpaksa kurangkan jumlah bilik dengan menutupnya separuh dan ketiga jika masih tidak ok, hotel di sini akan lingkup. Ini yang berlalu pada hotel 5 bintang di KL,” katanya sambil memaklumkan homestay mengenakan caj setiap bilik lebih rendah berbanding hotel.
Syafiq berkata, disebabkan homestay haram mengenakan harga hampir 20% lebih murah daripada hotel berdaftar, pihaknya terpaksa mengadakan promosi harga bilik sehingga 50%.
“Kita kurangkan harga bilik 40% hingga 50%, dulu kalau hotel dan apartment 3 bilik harga RM380, sekarang harganya RM190 bagi 1 malam,” katanya.
Beliau turut mendedahkan, projek rumah kos sederhana yang dibina sekitar Cameron Jaya turut diberi kepada golongan kaya dan membuka pelung kepada pihak tertentu menjadikannya sebagai homestay.

“Rumah kos rendah bukan untuk disewa, kadang-kadang orang berduit ini beli 2, 3 buah untuk buat homestay,” katanya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan antara kesan buruk apabila terlalu banyak homestay haram, ia akan meletakkan pelanggan dalam keadaan berisiko.
Katanya, homestay haram juga tidak menjamin keselamatan pengguna jika berlaku kemalangan.
“Kalau berlaku kemalangan, nak tuntut pampasan tidak boleh, kalau meninggal di kawasan homestay tidak boleh pampasan, tapi di hotel pampasan diberikan, kalau ada kemalangan bila orang insuran minta number pendaftaran mereka tidak ada,” katanya.
Mahu kerajaan PH campur tangan
Seorang lagi pengusaha hotel yang mahu dikenali sebagai Datuk Kanna mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandang serius perkara ini.
“Saya harap pihak kerajaan baru ini lebih terbuka dan sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi meja bulat dengan kami pengusaha hotel, untuk mendengar permasalah kami,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik hotel yang tidak mahu dinamakan berkata, kerajaan perlu memudahkan pemilik rumah untuk memohon lesen untuk pembinaan homestay supaya tidak ada lagi tempat penginapan haram.
“Ia akan menggalakkan persekitaran yang lebih selamat kepada tetamu untuk tinggal di homestay.
“Kami bukan apa, sebagai pengusaha hotel kita bimbang jika pelancong bermalam di homestay haram dan jika berlaku kemalangan, ia akan meletakkan reputasi Cameron Highlands pada tahap buruk dan dibimbangi tidak lagi dikunjungi pelancong.
“Sebagai contoh dulu ada tanah runtuh dan banjir, orang terus takut nak datang Cameron Highlands, begitu juga homestay, kalau ada kejadian buruk berlaku orang takut nak datang,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diterima FMT, lebih 80 hotel berdaftar di Cameron Highlands.