
Tommy Thomas berkata peguam Sabah dan Sarawak perlu bekerjasama dengan rakan-rakan di Tanah Melayu bagi memastikan isu MA63 diselesaikan.
“Peguam mesti memberi nasihat yang bijak dan menggalakkan pemegang taruh mengambil pendekatan ‘bertolak ansur’ supaya konsensus boleh dicapai,” katanya dalam ucapan sempena pembukaan tahun perundangan 2019.
“Kepelbagaian yang menyatukan kita pada 1963 mesti terus disemarakkan,” katanya.
Beliau berkata kesungguhan Putrajaya melihat hak-hak Sabah dan Sarawak ditunjukkan menerusi pembentukan jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Thomas berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis mungkin dibentangkan semasa sesi Parlimen Oktober ini, selepas laporan kahir jawatankuasa siap pada Jun.
Sementara itu, Peguam Besar Sabah, Zaleha Rose Pandin berkata lanskap politik baru mencetuskan perbincangan baru mengenai MA63 dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata Sabah tegas dalam soal menuntut kembali haknya.
“Kerajaan Sabah menubuhkan jawatankuasa kerja untuk melihat isu itu dan perbincangan antara kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan mengenai isu berkaitan sedang berjalan.
“Tidak diragui, kerajaan Sabah berazam aspirasi dan harapan setiap rakyat Sabah dicapai bawah kerajaan persekutuan sekarang,” katanya.
Ranbir Singh, yang mengetuai Persatuan Peguam Bela Sarawak berkata, peguam di negeri itu mempunyai tanggungjawab memastikan terma-terma MA63 dilaksanakan.
Beliau berkata peguam Sarawak mesti diberi peranan dalam jawatankuasa MA63.
“Sarawak rakan sama taraf dalam Persekutuan Malaysia. Ini mesti ditunjukkan dalam semua erti katanya, dan bukan sekadar hiasan,” tambahnya.