Kelantan henti pembalakan jika dapat royalti minyak, kata Amar

Kelantan henti pembalakan jika dapat royalti minyak, kata Amar

Timbalan menteri besar berkata royalti RM700 juta setahun jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding hasil pembalakan.

(Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan sekiranya kerajaan persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembayaran royalti dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.

“Antara punca kita tebang balak kerana hasil negeri terhad. Kalau dapat royalti seperti mana yang sepatutnya, kita mungkin boleh berhenti terus tebang balak, tidak payah buat dah, sebab royalti RM500 juta hingga RM700 juta setahun dapat selesaikan masalah, jadi Orang Asli tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat sambutan Hari Murabbi Ummah hari ini.

Katanya aktiviti pembalakan yang dijalankan ketika ini di kawasan yang telah ditetapkan dan tidak menggangu penempatan Orang Asli.

Mengulas lanjut, Amar berkata, pihaknya sudah bersetuju seluas 11,331 hektar tanah di seluruh Kelantan dikhaskan untuk Orang Asli.

“Biarpun kita tidak mengiktiraf tanah adat, kita sudah mewartakan hutan seluas 4,856 hektar untuk penempatan dan penanaman di dalam hutan simpan khas untuk Orang Asli yang tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan.

“Malah kita turut menetapkan seluruh kawasan hutan di negeri ini menjadi kawasan rayau untuk Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu mengulas perkembangan kes saman daripada kerajaan Persekutuan, Mohd Amar berkata penasihat undang-undang negeri akan membentang laporan mengenai kes itu esok kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob untuk tindakan dan usaha susulan.

“Kita yakin mempunyai kes yang kukuh atas beberapa faktor yang akan dibawa di mahkamah nanti ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.