Lebih 10 syarikat dipantau beri layanan buruk kepada pekerja asing

Lebih 10 syarikat dipantau beri layanan buruk kepada pekerja asing

Para majikan seharusnya melayan pekerja asing mereka sama seperti pekerja tempatan.

2,000 pekerja warga Nepal melancarkan mogok di sebuah kilang sarung tangan di Sepang Selasa lepas.
IPOH:
Kementerian Sumber Manusia sedang memantau lebih 10 syarikat kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pekerjaan 1955, khususnya yang berkaitan dengan penggajian pekerja asing.

Menterinya M Kulasegaran berkata, para majikan seharusnya melayan pekerja asing mereka sama seperti pekerja tempatan, namun beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas menyampaikan bantuan kepada 26 penduduk Kampung Tai Lee di Buntong di sini, semalam, yang terjejas tempat kediaman mereka akibat kejadian ribut pada 6 Jan lepas.

Merujuk kepada kejadian mogok oleh 2,000 warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Sepang Selasa lepas, Kula berkata, pihak kementerian mengenal pasti syarikat WRP Asia Pacific Sdn Bhd melakukan 42 kesalahan berkaitan penggajian buruh berdasarkan siasatan yang dilakukan ke atas syarikat berkenaan sejak Ogos tahun lepas.

“Sekurang-kurangnya 42 kes dikesan, termasuk penyediaan kemudahan dan persekitaran yang teruk kepada para pekerja. Kementerian akan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang melanggar undang-undang.

“Dalam kes berkaitan WRP, syarikat itu sanggup membayar gaji pekerja tempatan kerana mereka (pekerja) boleh membuat laporan kepada Jabatan Buruh, tapi bagi pekerja asing mereka tidak boleh berbuat demikian. Ini tidak adil,” katanya.

Jabatan Tenaga Kerja dalam satu kenyataan berkata, siasatan mendapati syarikat itu melakukan pelbagai kesalahan, antaranya tidak membayar kerja lebih masa, potongan gaji yang tidak adil, dan penetapan waktu kerja yang salah sewaktu hari cuti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.