
Ahli keluarga, saudara mara serta penduduk setempat mengiringi jenazah Siti Masitah Ibrahim, 11, ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang selepas siap disembahyangkan di surau kampung berkenaan.
Jenazah dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah, 35 dari Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 6 petang tadi.
Dia yang ditemani sepupunya Norasiah Abdul Manan, 33 kelihatan tidak dapat mengawal perasaan dan terpaksa dipapah keluar oleh Norasiah selepas dipanggil oleh polis untuk melihat jenazah anak ke-3 daripada 4 beradik itu.
Solihah yang ditemui di unit forensik berkata, polis menghubunginya pada 4 petang tadi memaklumkan jenazah anaknya boleh dituntut untuk proses pengkebumian.
“Alhamdulilah sebab sudah boleh dibawa keluar untuk disembahyang dan dikebumikan, kesian…sudah lama dia di sini (Unit Forensik),” katanya.
Mayat Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta beberapa organ dalaman hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir 9 Februari lalu.
Polis mengesahkan mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki yang merupakan kenalan rapat keluarganya kerana motif dendam dan marah.
Bedah siasat yang dilakukan mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat “probable head injury” dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah dipercayai akibat dipukul dengan kayu.
Berikutan itu suspek yang berusia, 23 tahun ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.