Pengurus projek didakwa buat tuntutan palsu lebih RM415,000

Hakim membenarkan Abdullah Hassan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Seorang pengurus projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu lebih RM415,000 daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah pada 2016.

Abdullah Hassan, 57, didakwa mengemukakan tuntutan palsu itu bagi tender kerja pengalihan utiliti untuk projek menaik taraf Sungai Tanjung Pauh dan Anak Bukit, terusan utama dan terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) serta kerja berkaitan rancangan tebatan banjir.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat JPS Kedah di Bangunan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Badlishah, antara Julai dan September 2016.

Abdullah didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syahrul Khuzaini Amiruddin mencadangkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.

Peguam tertuduh, Abdul Rahim Mohamad, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan antara RM10,000 hingga RM20,000 memandangkan Abdullah mempunyai tanggungan ramai, iaitu 4 isteri tidak bekerja serta 10 anak, dengan 7 daripadanya masih bersekolah.

Hakim, Murtazadi Amran menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta memutuskan 1 April ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, kemudian membayar jaminan itu.