Saya sedia ke mahkamah, kata Ramasamy selepas dokumen bocor

P Ramasamy berkata, SPRM boleh mendakwanya di mahkamah, jika ada bukti beliau terbabit rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sedia memberi keterangan di mahkamah, jika terdapat bukti beliau terbabit rasuah dalam projek terowong dasar laut negeri itu.

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk membuat laporan polis berhubung kertas siasatan didakwa milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang didedahkan sebuah laman web popular.

“Kalau ada kes, SPRM boleh bawa saya ke mahkamah.

“Saya sedia beri keterangan di mahkamah, tidak ada apa-apa yang mahu ditutup,” katanya kepada FMT.

Selain Ramasamy, beberapa pemimpin politik DAP, termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut dinamakan dalam kertas siasatan didakwa milik SPRM itu.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendesak Lim membuat laporan polis berhubung pendedahan kertas siasatan didakwa milik SPRM itu yang menamakan beliau.

Katanya, pihak berkuasa harus menyiasat bagaimana dokumen itu boleh diperolehi laman web itu.

Beliau turut mendesak Lim dan pemimpin DAP dinamakan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali laman itu.

FMT sudah menghubungi SPRM untuk mengetahui kesahihan kertas siasatan itu, namun belum ada maklum balas daripada agensi anti-rasuah itu.