
PUTRAJAYA: Seorang individu bergelar “Tan Sri” yang juga anggota pengurusan tertinggi sebuah kuil di Batu Caves, direman 3 hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah milik Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.
Turut direman bagi tempoh sama ialah 2 individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan itu.
Majistret Nik Muizuddin Nik Muhammad memerintahkan 3 individu itu ditahan sehingga Khamis ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Majistret, hari ini.
Sumber SPRM memberitahu penahanan itu adalah susulan serbuan ke atas rumah “Tan Sri” berkenaan petang semalam selain penggeledahan yang dilakukan di pejabat pengurusan kuil di Batu Caves.