Dapatkan sendiri laporan ‘siasatan SPRM bocor’, Hanipa beritahu Wee

Terowong sepanjang 7.2km itu merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM6.3 bilion yang turut merangkumi 3 lebuh raya berkembar.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA hari ini diberitahu supaya mendapatkan sendiri laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kebocoran maklumat siasatan ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, laporan polis adalah maklumat awam dan boleh diperolehi daripada pihak polis.

Hanipa menjawab soalan yang dibangkitkan Wee (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat, yang meminta kerajaan mendedahkan kandungan laporan itu dan mengesahkan kesahihan maklumat yang didakwa bocor itu.

“Kita mahu tahu sama ada ia benar atau tidak, kerana kita mahu membetulkan perkara yang salah,” kata Wee.

Beliau juga menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana kertas siasatan tersebut boleh dibocorkan kerana ia melibatkan integriti SPRM.

“Paling penting ialah reputasi SPRM dan kenapa tidak ada tindakan diambil,” kata beliau.

Hanipa mengesahkan SPRM membuat laporan polis itu pada 28 Februari lepas dan perkara berkenaan sedang disiasat.

Beberapa artikel yang disiarkan laman web Malaysia Today baru-baru ini disertakan dengan imej yang dikatakan kenyataan yang dibuat oleh seorang saksi kepada SPRM.

Beberapa anggota exco kerajaan Pulau Pinang disiasat berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Terowong sepanjang 7.2km tersebut merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM6.3 bilion yang turut merangkumi 3 lebuh raya berkembar.