
Para hadirin tiba seawal jam 10 pagi walaupun acara kemuncak hanya bermula pada jam 4 petang, sementara jalan 4 lorong yang menghubungkan Donggongon di Penampang ke Kota Kinabalu sesak dan beribu-ribu buah kenderaan diletakkan di tepi jalan.
Mereka datang daripada semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum dari seluruh Sabah, termasuk Tawau dan Semporna di pantai timur dan Sipitang di bahagian selatan Sabah.
Kebanyakan mereka adalah bekas ahli Umno Sabah, walaupun terdapat beberapa orang yang mendakwa mereka tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti dan PPBM merupakan parti politik pertama mereka.

Salah seorang individu itu adalah Elvira Michael dari Penampang, 26 tahun yang berkata, beliau memilih PPBM kerana ia parti baru dan bebas daripada skandal, tidak seperti parti lain.
Ditanya mengapa beliau tidak menyertai parti tempatan seperti Upko atau Warisan, Elvira berkata, beliau lebih suka parti nasional kerana percaya ia lebih mudah untuk menyuarakan suara rakyat Sabah.
“Parti kebangsaan lain seperti PKR, DAP dan Amanah bagaimanapun tidak sesuai dengan saya dan aspirasi saya,” katanya.

Dua sahabat Adzwan dan Lajurani dari Semporna berkata, mereka memutuskan untuk menyertai PPBM sebagai destinasi baru mereka selepas meninggalkan Umno tahun lepas.
Mereka telah mempertimbangkan parti lain, termasuk Warisan kerana presiden parti, Shafie Apdal adalah ahli Parlimen Semporna, tetapi akhirnya memutuskan sebaliknya.

“Kami lebih suka parti nasional, namun ia tidak bermakna kami tidak patriotik. Kami fikir ia adalah lebih baik untuk menjadi parti nasional kerana jangkauan kami lebih luas berbanding parti tempatan,” kata Adzwan.
Antara pemimpin politik yang hadir ialah Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Jahid Jahim dan ketua penerangan Joniston Bangkuai; presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Joseph Kurup dan timbalan presiden Arthur Kurup.

Turut hadir ialah bekas ketua MIC Sabah V Jothy, bekas ketua menteri Harris Salleh dan Chong Kah Kiat, yang dipeluk mesra oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad setelah sekian lama tidak bertemu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan dan bekas naib presiden Upko, Bobbey Ah Fang Suan akhirnya menjawab teka-teki mengenai arah politiknya apabila beliau mengeluarkan kenyataan ringkas kepada media sebelum acara itu bahawa beliau akan menyertai PPBM.
Tiga bekas pemimpin Umno Sabah, iaitu Salleh Said Keruak, Pandikar Amin Mulia dan ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa tidak hadir ke majlis itu.

Bagaimanapun, anggota PPBM Sabah yang lain menolak desas-desus mengatakan permohonan trio itu ditolak dan sebaliknya berkata, mereka akan menyertai parti itu tidak lama lagi.
Tidak seorang pun pemimpin Warisan hadir ke majlis tersebut. Satu sumber dalaman parti memberitahu FMT bahawa Shafie memilih untuk tidak menghadiri kerana beliau menganggap acara itu sebagai acara peribadi Dr Mahathir dan PPBM.

Pemimpin Warisan dan penyokong mereka dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan PPBM untuk memasuki Sabah. Mereka berulang kali meminta agar PPBM menghormati janji untuk membiarkan Sabah di bawah kelolaan Warisan.
Bagaimanapun, pemimpin PPBM berkata, kemasukan parti itu ke Sabah adalah atas permintaan rakyat negeri itu yang mahu menyertai PPBM dan melihat kehadirannya di situ.
Dr Mahathir juga terpaksa berulang kali menafikan khabar angin bahawa parti tersebut mahu mengambil alih kerajaan Sabah.

“Kami berada di sini untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah. Kami mahu mengukuhkan kerajaan kerana kami mahu mempunyai hubungan yang baik di antara Sabah dan persekutuan,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.
Adun Sulaman Hajiji Noor dilantik sebagai ketua penyelaras PPBM Sabah yang ditugaskan untuk mengawasi pembukaan bahagian dan cawangan PPBM dan memastikan proses itu mematuhi perlembagaan parti.