RCI Wang Kelian diberitahu 1 saksi pernah ditahan SPRM 2 kali

RCI Wang Kelian diberitahu 1 saksi pernah ditahan SPRM 2 kali

Bekas pegawai pemerintah Batalion 3 Briged Utara PGA Bidor, Wan Hamzah Wan Kadir berkata Komander Kompeni B Batalion 3 Briged Utara PGA, Joeking Marian Anthony pernah ditahan SPRM pada 2015 dan 2019.

Wan Hamzah Wan Kadir (depan) meninggalkan bangunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya selepas memberi keterangan dalam pendengaran awam RCI Wang Kelian yang memasuki hari ke-5, hari ini.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, hari ini diberitahu seorang pegawai polis yang merupakan saksi ke-5 pendengaran awam itu pernah ditahan 2 kali atas dakwaan penyeludupan ketum, beras serta diesel.

Bekas pegawai pemerintah Batalion 3 Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di Perak, Wan Hamzah Wan Kadir berkata, Komander Kompeni B Batalion 3 Briged Utara PGA Bidor, Joeking Marian Anthony pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2015 dan tahun ini.

“Joeking dipantau SPRM sejak 2011 dan individu terbabit ditahan pada 2015 dan 2019. Pada 2 Mac 2015, SPRM datang ke pejabat saya dan buat tangkapan terhadap Joeking dan beberapa pegawai lain.

“Saya sebagai saksilah dan (tangkapan itu) tiada kaitan dengan (penemuan kem) Wang Burma,” katanya pada hari ke-5 pendengaran awam RCI itu di depan 7 panel yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria, hari ini.

Wan Hamzah yang merupakan saksi ke-14 berkata, Joeking digantung tugas sejak bulan lalu, susulan penahanan SPRM pada tahun ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan ahli panel berhubung kredibiliti Joeking sebagai saksi kerana pernah ditahan SPRM.

Sementara itu, Wan Hamzah menafikan dakwaan seorang lagi saksi, Sivanganam Thirumugam yang beliau tidak dibenarkan menyertai sebarang operasi, susulan penemuan kubur beramai-ramai itu dan laporan berhubung penemuan itu.

Sivanganam yang merupakan komander lapangan memantau operasi di Wang Kelian dan Wang Burma, sebelum ini memberitahu RCI itu pegawai atasannya bernama “Datuk Nasir” melarang beliau menyertai sebarang operasi PGA, selepas kejadian itu.

Beliau memberitahu RCI, sebelum direhatkan, beliau menulis satu laporan memperincikan maklumat seorang sumber mengenai pembabitan penduduk tempatan dalam pemerdagangan pendatang asing melalui sempadan.

Wan Hamzah berkata, laporan Sivanganam itu diambil serius jabatannya dan unit risikan briged itu diarahkan berwaspada.

Katanya, Sivanganam tidak direhatkan kerana tiada “surat hitam putih” mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, sepucuk surat rasmi dihantar kepada Joeking dan beberapa pegawai lain yang tidak dinamakannya untuk mengarahkan mereka tidak menyertai operasi PGA di sempadan.

Beliau berkata, larangan ke atas Joeking itu disebabkan penahanannya oleh SPRM pada 2 Mac 2015.

Wan Hamzah mendakwa Joeking dan Sivanganam “bermasalah” sejak beliau dilantik sebagai pegawai pemerintah Batalion 3 Briged Utara PGA Bidor pada Oktober 2014.

“Saya terima maklumat DSP Sivanganam dan ‘kawannya’ terbabit dalam beberapa masalah. Saya rasa ini boleh dipercayai dan menemui komander saya, Nasir Ramli (dari Briged Utara) untuk membincangkannya.”

Katanya, hasil perbincangan itu, Sivanganam bersama Joeking dan beberapa pegawai lain dipindahkan daripada PGA.

“Pada November 2016, komander itu menulis surat kepada Bukit Aman. Kes Wang Burma belum wujud masa itu. Kami hanya mengehadkan pembabitan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.