
Akhbar Satar, yang pernah bersama SPRM semasa ia masih dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah berkata, ketua pesuruhjaya baru seharusnya daripada kalangan pimpinan badan itu.
“Kerja-kerja SPRM berlegar sekitar kerja-kerja penyiasatan, jadi ketua pesuruhjaya SPRM mesti mempunyai pengalaman yang diperlukan.
“Orang boleh mengatakan Latheefa seorang peguam, tetapi mengetuai agensi penyiasatan memerlukan kemahiran berbeza. Bagaimana beliau akan menasihati pegawai-pegawai bawahannya tanpa pengalaman itu?”
Walaupun Latheefa sudah meletakkan keahlian parti, langkah-langkahnya akan dipersoalkan kerana sejarah politiknya.
“Beliau betul-betul perlu bertindak tanpa gentar atau pilih kasih, kerana jika tidak, orang akan meragui tindakan-tindakannya dan itu tidak baik untuk SPRM.”
Akhbar berkata seorang ahli politik tidak patut dilantik mengetuai badan seperti SPRM, walaupun mereka sudah meletakkan jawatan, kerana ia tidak akan mengubah bagaimana masyarakat memandang mereka.
“Pakatan Harapan memungkiri janji manifestonya dan ini akan memberi gambaran buruk terhadapnya. Sekarang ini pun, ramai yang menyuarakan perasaan tidak senang dalam talian.
Beliau berkata kerajaan mesti menjelaskan keputusan melantik Latheefa itu.
“Tentunya ada sekurang-kurangnya seorang calon yang berkelayakan dalam kalangan pimpinan SPRM.”
Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.
Pelantikan peguam itu mengundang kritikan, terutama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam yang tertanya kenapa ia tidak dimaklumkan.