
Katanya, beliau yakin dengan kewibawaan peguam itu untuk menerajui agensi anti-rasuah tersebut meskipun Latheefa menerima pelbagai kecaman dan kritikan.
“Kena buang sekalipun, jangan pernah tunduk dengan tekanan,” katanya tenang namun bernada tegas dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut mencadangkan Latheefa segera merapatkan diri dengan pegawai-pegawai SPRM agar beliau memahami tugasnya dengan lebih mudah dan cepat.
“Pegawai-pegawai pun kena bantu dia. Pandu dia. Sebab dia ketua baru.
“Kedua, paling penting, berdikari. Jangan sebelah mana-mana pihak,” katanya.
Dua hari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau melantik Latheefa sebagai ketua pengarah SPRM yang baru tanpa perbincangan dengan barisan Kabinet.
Mahathir berkata, beliau sudah mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa pihak untuk mengenali karekter Latheefa yang tegas dan sesuai untuk menerajui agensi itu.
Mengulas lanjut, Shukri berkata, pihak yang mempertikai lantikan Latheefa disifatkan sebagai membuang masa kerana lantikan sudahpun selesai.
“Bagi sokongan kepada dia. Bergerak ke hadapan. Biar dia lakukan tugasnya dengan baik.”
Tambahnya lagi, beliau percaya kredibiliti Latheefa sebagai peguam boleh membawa perubahan kepada SPRM dengan membawa masuk idea korporat ke dalam agensi kerajaan.
“Jangan risau, tugas-tugas operasi adalah pegawai-pegawai yang buat kerja. Yang sudah terlatih. Saya pun tak buat kerja, saya cuma ‘mobilise’ sahaja,” katanya.
Shukri berkata beliau tidak pernah mendengar ura-ura yang mengatakan Latheefa akan dilantik sebagai penggantinya.
“Nama Latheefa tak pernah dengar. Tak disebut.
“Tun nak lantik orang luar, tu kuasa Tun. Saya tak boleh pertikai. Sesiapa yang pertikai, buang masa sahaja.
“Bagi peluang KP baru ni supaya dia boleh pimpin SPRM dengan terbaik,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan Yang di-Pertuan Agong meluluskan permohonan Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya.
Tempoh perkhidmatan Shukri sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.
Shukri dilantik mengetuai agensi anti-rasuah itu sejurus selepas Pakatan Harapan berjaya mengetepikan Barisan Nasional sebagai kerajaan persekutuan pada Mei tahun lalu.