Saya tak tahu dana 1MDB, bendahari Umno Kedah uruskan, kata Mukhriz

Mukhriz Mahathir berkata, ketika mengetuai Umno Kedah, beliau memperuntukkan dana untuk keperluan perbelanjaan setiap bahagian dan wang itu diuruskan bendahari Umno negeri.

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai dana dikaitkan dengan 1MDB yang disalurkan kepada Umno Kedah ketika mengetuai Umno negeri itu.

Katanya, semua urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada bendahari Umno negeri ketika itu, Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap Umno bahagian di Kedah.

“Waktu saya jadi pengerusi Umno negeri, memang ada keperluan perbelanjaan untuk setiap bahagian, tetapi saya serah kepada bendahari. Saya tidak tahu apa kaedah yang dia (bendahari) gunakan, tetapi peruntukan yang diperoleh itu untuk gerakkan aktiviti di setiap bahagian.

“Selepas itu, apa yang berlaku saya tidak tahu, tetapi ia langsung tidak libatkan sebarang projek, kontrak atau benda-benda lain,” katanya selepas merasmikan Hari Belia Negara peringkat Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan permohonan perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang ada kaitan 1MDB.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 untuk mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib Razak dan kemudian kepada 41 individu dan entiti.

Semua 41 individu dan entiti itu termasuk yayasan dan syarikat serta beberapa negeri dan bahagian Umno, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Mukhriz yang kini timbaalan presiden PPBM berkata, jika dana diperoleh Umno daripada sumber yang salah, maka parti itu harus memulangkannya.

Mukhriz menjadi ketua Umno Kedah pada Ogos 2013 dan melepaskan jawatan itu pada Februari 2016, selepas meletak jawatan sebagai menteri besar susulan majoriti Adun negeri itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.