
Kesibukan kerja menyebabkan warga kota lebih banyak makan di luar dan amalan itu tentu menambah beban kepada perbelanjaan harian.
Untuk mengurangkan kos itu, kedai makan yang menyajikan makanan sedap dengan harga berpatutan menjadi kunjungan ramai.
Restoran Subang Ria yang lebih dikenali sebagai FAM Hawkers Stall kerana jaraknya berdekatan Wisma FAM di Kelana Jaya, tidak asing di kalangan penduduk setempat.



Bermula 8 pagi hingga 5 petang, restoran berusia hampir 40 tahun ini biasanya sibuk pada waktu sarapan dan makan tengah hari.
Antara menu yang dapat memuaskan cita rasa rakyat berbilang kaum di negara ini ialah kuey teow goreng, yong tau foo, capati, mi udang, nasi ayam, nasi lemak dan pan mi.



Anda boleh mendapatkan satu pinggan penuh kuey teow goreng yang disaluti telur dengan udang yang banyak pada harga RM6 (pinggan kecil) dan RM6.50 (pinggan besar).
Capatinya kekal lembut walaupun selepas seketika, enak dimakan begitu saja atau dicecah kuah dal.

Yong tau foo pula didatangkan dengan pelbagai bahan sampingan seperti bebola dan fucuk goreng yang tetap ranggup dengan sos masam, manis serta pedas.



Paling istimewa ialah minuman di restoran ini yang tampil dengan “float” berbeza, seperti milo float yang menggabungkan milo, susu dan aiskrim vanila.
Namun, untuk menyahut seruan kerajaan mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan memulihara alam sekitar, straw tidak akan disediakan kepada pelanggan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]