
Dalam satu hantaran Facebook, Ahli Parlimen Subang itu berkata pejabatnya menerima sepucuk surat bertarikh 7 Januari yang menyatakan MBSJ ‘tidak berhasrat’ melantik perunding baharu.
Penilaian impak trafik sedia ada dibiayai oleh pemaju projek, Sunway Group.
Wong berkata walaupun kajian yang dibiayai pemaju adalah perkara biasa bagi projek yang tidak menerima bantahan, cadangan pembinaan jejambat itu telah menerima bantahan.
“Apabila penduduk yang membayar cukai taksiran membantah (sesuatu projek), penilaian impak trafik bebas merupakan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.
Wong berkata beliau bertemu dengan datuk bandar pada 12 Disember untuk menggesa pelaksanaan TIA dan seterusnya, bersama penduduk, memilih Perunding Atur Trafik Sdn Bhd daripada senarai lima firma yang diluluskan oleh majlis.
Bagaimanapun, katanya, MBSJ kini memaklumkan bahawa ia akan bergantung kepada penilaian sedia ada yang dijalankan oleh perunding yang telah dilantik.
Menurutnya, beliau akan mendapatkan panduan sama ada peruntukannya sebagai Ahli Parlimen boleh digunakan secara sah untuk membiayai kajian tersebut, memandangkan pihak berkuasa tempatan berada di bawah bidang kuasa negeri.
Pada November lalu, beberapa penduduk SS14 mengadakan protes membantah cadangan pembinaan jejambat bagi menghubungkan Jalan Lagoon Selatan dengan Lebuhraya Subang-Kelana, dengan mendakwa mereka tidak dimaklumkan secara terperinci mengenainya walaupun selepas pertemuan terakhir dengan MBSJ berhubung perkara itu pada Ogos.
Jejambat berkenaan dijangka menyediakan laluan yang lebih lancar kepada pengguna jalan raya menuju ke Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Lembah Klang Barat Baharu.