Wanita mengandung antara 4 maut terkena renjatan elektrik di Sungai Buloh

Anggota bomba memeriksa runtuhan struktur tangga yang mengakibatkan kematian 4 orang di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wanita, yang sarat mengandung, dan suaminya adalah antara 4 yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas struktur tangga sebuah rumah 2 tingkat runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Ketika kejadian pukul 12.30 tengah hari, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, yang mengandung anak sulung, sedang menikmati durian di bawah tangga dan tersepit apabila struktur tangga yang dalam pembinaan runtuh.

Suaminya, Shahril Apipie, 29, dan 2 yang lain, iaitu Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, dan seorang lelaki Indonesia Bambang Sulustio, 39, maut ketika cuba membantu menyelamatkan wanita itu.

“Suami serta 2 lagi mangsa yang mendengar jeritan meminta tolong bergegas datang bagi membantu mangsa.

“Malangnya kesemua mereka maut selepas terkena renjatan elektrik dipercayai daripada wayar kabel berdekatan tangga putus,” kata Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Razali Mohd Nasir ketika ditemui di tempat kejadian.

Rumah 2 tingkat itu dibahagikan kepada 3 pintu dan pasangan suami isteri malang dari Kelantan itu antara 3 keluarga yang menyewa rumah berkenaan.

Bahagian atas rumah berkenaan dan tangga yang runtuh itu dalam proses pengubahsuaian.

Razali berkata, 7 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 12.57 tengah hari.

“Operasi membawa keluar mangsa dibuat selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di rumah itu.

“Kesemua mangsa dibawa keluar 40 minit kemudian,” katanya.

Razali berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.