Hakim ditahan SPRM buat keputusan kontroversi inkues berprofil tinggi

Hakim ditahan SPRM buat keputusan kontroversi inkues berprofil tinggi

Sumber memetik aduan dibuat terhadap keputusan hakim itu dalam banyak kes.

PETALING JAYA: Lebih banyak maklumat mengenai seorang hakim yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam, muncul hari ini.

FMT difahamkan SPRM sedang menyiasat dakwaan hakim itu mungkin “menyelesaikan” kes untuk peguam tertentu.

“Ada banyak aduan daripada anggota agensi penguatkuasaan berhubung keputusan hakim itu dalam kes terdahulu,” kata seorang sumber yang dekat dengan siasatan itu.

Difahamkan, hakim itu membuat sekurang-kurangnya satu penghakiman kontroversi dalam satu inkues berprofil tinggi.

FMT tidak boleh mengesahkan perkara itu dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya belum menjawab pertanyaan.

Tetapi, beliau hari ini berkata, hakim itu direman 2 hari.

Semalam, Latheefa ketika mengesahkan penahanan hakim berusia 45 tahun itu, berkata ia berkaitan penahanan terdahulu ke atas seorang peguam, seorang timbalan pendakwa raya dan beberapa anggota polis.

Media melaporkan mereka ditahan kerana disyaki menerima rasuah untuk membebaskan pendatang asing tanpa izin (Pati) oleh pihak berkuasa di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Sebelum ini, portal berita Malay Mail melaporkan peguam “membayar” RM17,500 kepada anggota polis dan timbalan pendakwa raya itu untuk membebaskan Pati yang ditahan penyiasat SPRM.

Menurut laporan, timbalan pendakwa raya itu turut didapati memiliki RM82,500 yang dipercayai hasil daripada aktiviti rasuah lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.