Saya tak saman KPN, peguam negara jika pelaku seks sejenis didakwa, kata Lokman

Lokman Noor Adam bercakap kepada wartawan sebelum memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berjanji tidak akan menyaman ketua polis negara dan peguam negara, jika pihak berkuasa melakukan pendakwaan terhadap pelaku dalam video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, laporan forensik akan turut diserahkan kepada peguam negara dalam masa terdekat dan jika tiada pendakwaan dalam masa 7 hari kemudian, beliau akan memfailkan saman terhadap Abdul Hamid Bador dan Tommy Thomas.

“Sekiranya Jabatan Peguam Negara gagal melakukan pendakwaan, maka proses saman peguam ini akan kami teruskan.

“Kalau saya didakwa, ini akan melengkapkan kebenaran yang akan dipapar kepada rakyat bahawa negara ini mengamalkan undang-undang ‘law of jungle’.

“Tiap kali orang buat laporan polis dan yang buat laporan polis itu akan didakwa, bukan orang terlibat dalam jenayah itu,” katanya sebelum memberi keterangan di Bukit Aman hari ini berhubung laporan forensik ke atas video seks sejenis yang dilakukan Verden Forensics di United Kingdom.

Pada 11 Jun lalu, Lokman membuat laporan untuk menggesa polis menyiasat kesahihan klip video seks sejenis itu, penyebar video dan pelakunya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan lanjut diterima pihaknya.

Katanya, laporan analisis video seks sejenis yang dilakukan Verden Forensics sudah dihantar kepada CyberSecurity Malaysia untuk diteliti.

Pada 20 Julai lalu, Lokman dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hamid di bawah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan atas dakwaan melindungi penjenayah dalam kes video seks sejenis itu.

Terdahulu, Lokman dilihat memasuki Bukit Aman kira-kira 11.35 pagi dengan membawa laporan forensik setebal 55 muka surat ke atas video seks sejenis itu. Beliau keluar kira-kira 12.40 tengah hari tadi.

Katanya, polis memaklumkan kertas siasatan membabitkan pelaku dan penyebar video seks sejenis itu sudah siap untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya berpuas hati dan ia nampak adil. Saya dimaklumkan polis akan ambil keterangan saya sekali lagi. Bila keterangan akan diambil belum ditetapkan.”

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Susulan itu, polis menahan Haziq sebanyak 2 kali pada Jun dan Julai lalu bagi membantu siasatan kes video seks sejenis itu.

Hamid pada 18 Julai lalu berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Tetapi, laporan ringkasan Verden Forensics menyatakan klip video seks sejenis itu tulen dan 2 individu terbabit sama dengan gambar mereka.