Pemain badminton negara selamat jalani pembedahan

Pemain badminton negara selamat jalani pembedahan

Goh Jin Wei kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei selamat menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya sebagai usaha menyelamatkan kariernya, semalam.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Mohamad Norza Zakaria, pemenang pingat emas Sukan Sea 2017 itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

“Kami meminta orang ramai untuk memberikan beliau ruang dan masa sebanyak mungkin ketika masa pemulihan ini, kerana kami yakin beliau akan kembali dengan lebih kuat lagi.

“Anda sentiasa berada dalam ingatan kami, Jin Wei!,” katanya di Instagram hari ini.

Norza membuat hantaran gambar ketika beliau melawat Goh pagi tadi.

Sebelum ini dilaporkan juara bertahan itu digugurkan daripada skuad Sukan Sea Filipina dan juga tidak akan meneruskan usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo, selepas tidak menyertai beberapa kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun itu menarik diri daripada menyertai Terbuka Denmark di Odense minggu ini dan juga Terbuka Perancis di Paris (22-27 Okt).

Goh bergelut dengan masalah kesakitan dalam perut sejak Januari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.