Kementerian Pendidikan ada banyak masalah, saya perlu masuk pejabat segera, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melihat replika model Depot Dhaya Maju Infrastructure (Asia) (DMIA) Serendah ketika melawat depot itu hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (lima, kanan) dan Pengerusi DMIA Mohd Azumi Mohamed (dua, kanan).

HULU SELANGOR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beliau beliau perlu segera memasuki pejabat menteri pendidikan bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi kementerian itu ketika ini.

Mahathir yang memangku jawatan menteri pendidikan berkata, langkah itu perlu segera diambil bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

“Saya kena kaji segala masalah terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kementerian Pendidikan hadapi banyak masalah, jadi saya kena kenal pasti dahulu apakah masalahnya dan cari jalan penyelesaian. Saya akan masuk pejabat secepat yang mungkin,” katanya dalam sidang media, hari ini, tanpa menjelaskan “masalah” yang dimaksudkannya.

Jumaat lalu Mahathir berkata, beliau akan memangku jawatan menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Jan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri pada 8 Jan telah bersetuju agar jawatan tersebut dipangku sementara oleh Mahathir.

Jawatan menteri pendidikan kosong apabila Maszlee Malik mengumumkan meletak jawatan pada 2 Jan.

Maszlee berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat daripada perdana menteri.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memecahkan kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Mahathir berkata, beliau akan menimbangkan saranan tersebut.

“Cadangan itu saya akan pertimbangkan berdasarkan kepada cadangan anda (wartawan),” katanya.