Ceramah pemimpin utama pembangkang dapat sambutan besar-besaran di Kimanis

Pemimpin pembangkang pada satu ceramah di Kimanis, malam tadi.

KIMANIS: Kemunculan ramai pemimpin utama pembangkang pada satu ceramah di sini malam tadi menarik jumlah hadirin terbesar sempena pilihan raya kecil (PRK) Kimanis setakat ini, menjelang hari pengundian 2 hari lagi.

Antara yang hadir pada “Himpunan Penyatuan Muafakat Rakyat Sabah” itu termasuklah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin, presiden MCA Wee Ka Siong, presiden PBS Maximus Ongkili, penasihat ulung PBS Joseph Pairin Kitngan, timbalan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Kurup, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan dan bekas ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.

Penceramah menggesa lebih 1,000 hadirin supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin dan menolak rancangan kerajaan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi pendatang asing.

Pairin, yang jarang-jarang muncul sejak bersara daripada politik pada 2016 menafikan dakwaan bahawa kerajaan BN memberi lampu hijau kepada rancangan PSS.

Bekas ketua menteri itu berkata, beliau tidak meluluskan rancangan tersebut ketika menjadi pengerusi jawatankuasa teknikal untuk mengkaji syor bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Sebaliknya beliau hanya mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat bagi menangani isu itu kepada Zahid, yang merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu.

Parin berkata, rakyat Sabah harus “bangkit” apabila mendapati hak mereka diancam.

“Kita tidak boleh membenarkan kumpulan tertentu berpihak kepada orang asing dan menafikan hak rakyat di negara mereka sendiri,” katanya merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jika kita benarkan mereka berbuat begitu, masa depan dan kedaulatan negeri ini akan tergugat. Ini negeri kita dan kita mesti menjaga masa depan kita.”

Zahid mengiyakan Pairin dengan berkata, terdapat 6 bekas menteri Kabinet kerajaan BN pada majlis ceramah itu yang boleh mengesahkan bahawa BN tidak pernah meluluskan rancangan PSS.

Hadirin dianggarkan melebihi 1,000 orang mendengar ceramah BN di Kimanis.

Sementara itu Anifah berkata, tidak ada undang-undang yang menafikan kerakyatan anak-anak pemegang PSS.

Katanya beliau telah berbincang dengan peguam yang mengesahkan perasaan syaknya bahawa anak-anak tersebut tidak akan dinafikan kerakyatan.

‘Idea pegawai daerah dicadangkan oleh BN’

Wee berkata, rancangan penubuhan pejabat daerah Kimanis yang diumumkan oleh presiden Warisan Shafie Apdal baru-baru ini sebenarnya dicadangkan semasa pentadbiran BN di Sabah pada 2011.

Beliau juga berkata, tidak ada pemimpin Warisan yang mengkritik PH yang “merugikan” Sabah.

Sebagai contoh katanya, pengiraan royalti minyak adalah didasarkan kepada keuntungan kasar syarikat minyak negara, Petronas, bukannya output sebenar minyak dan gas negeri itu.

Selain itu kata beliau, PH juga gagal memperuntukkan satu pertiga daripada Belanjawan 2020 kepada Sabah dan Sarawak seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan rayanya.