Hakim saran doktor buat laporan jika takut disoal SPRM berhubung MC Rosmah

Perbicaraan rasuah Rosmah Mansor bermula hari ini.

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kes rasuah Rosmah Mansor, menyarankan doktor yang mengeluarkan sijil perakuan sakit (MC) kepada isteri bekas perdana menteri itu membuat laporan kepada pihak berkuasa jika beliau rasa takut disoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zaini berkata demikian selepas tuduhan intimidasi itu dibangkitkan pada hari pertama perbicaraan Rosmah oleh peguamnya, Jagjit Singh.

Peguam itu berkata tindakan sedemikian terhadap doktor tidak boleh dibenarkan kerana MC itu adalah tulen.

“Saya harap mahkamah akan memberi amaran keras kepada sesiapa yang memberi arahan kepada SPRM (untuk menyiasat),” kata Jagjit.

Isnin lalu, peguam Rosmah memberitahu mahkamah bahawa beliau diberi cuti sakit selama 6 hari kerana beliau mengalami kesakitan di leher dan artritis. Rosmah juga dimasukkan ke hospital.

Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa agensi anti-rasuah itu hanya menjalankan tugasnya seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang.

“Sekiranya dia (doktor) merasa takut dengan SPRM, dia boleh membuat laporan. Yang arif tidak perlu terganggu dengan ini,” tambahnya.

Hakim kemudian memberitahu pasukan pembelaan bahawa ia berada di luar bidang kuasanya untuk membuat arahan mengenai perkara itu.

Rosmah, 69, didakwa menerima RM187.5 juta dan 2 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta antara 2016 hingga 2017, bagi bekalan dan pemasangan sistem solar kepada 369 sekolah luar bandar.

Sehingga kini, sekolah terbabit tidak mempunyai sistem tersebut.

Pihak pendakwaan dijangka memanggil kira-kira 20 saksi untuk kes itu.