
ManpowerGroup mengatakan wabak Covid-19 dan PKP mengubah cara orang ramai bekerja, dan penting untuk pekerja meningkatkan kemahiran supaya kekal “relevan dan boleh diambil bekerja”.
Pengarah Urusan Untuk Malaysia, Sam Haggag juga berkata majikan perlu mempunyai tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang didorong automasi dan model kos yang lebih fleksibel.
Ini juga menyediakan majikan peluang mempelbagaikan perniagaan berdasarkan kemahiran baru pekerja mereka, katanya.
“Ini masa terbaik kerana bekerja dari rumah menjadikan anda lebih fleksibel untuk memperuntukkan masa bagi meningkatkan kemahiran anda. Platform pembelajaran dalam talian menyediakan sumber yang luas meliputi semua industri dan set kemahiran,” katanya kepada FMT.
“Dengan sokongan kerajaan berikutan krisis Covid-19, ini mungkin masa terbaik untuk melabur dalam latihan.”
Haggag berkata latihan semula dan peningkatan kemahiran menerusi platform dalam talian sangat menjimatkan dan boleh disubsidikan lagi menerusi beberapa kaedah termasuk penggunaan dana daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan perkongsian dengan perantara.
Beliau berkata majikan perlu mempertimbangkan lebihan permintaan berbanding bekalan dalam hal pekerja berbakat apabila membuat keputusan mengenai peruntukan untuk latihan semula, walaupun dalam iklim ekonomi semasa.
Latihan semula, katanya, cara paling kos efektif untuk menangani jurang bakat walaupun ada risiko kehilangan tenaga terlatih kepada majikan lain.
Malah, katanya, pelaburan dalam latihan alat mengekalkan pekerja yang berkesan.
“Ini amat berkesan apabila latihan membantu pekerja memenuhi peranan dengan nilai yang lebih tinggi yang akan meningkatkan pendapatan mereka.”
Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan untuk membendung pandemik Covid-19 pada 18 Mac, dijadual ditarik balik pada 14 April.