Syed Saddiq jelas sumber pendapatan menteri, nafi beri kontrak kepada syarikat

Bekas menteri belia dan sukan Syed saddiq Syed Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tidak pernah memberi kontrak kepada mana-mana syarikat sewaktu menjadi menteri belia dan sukan, selain menjelaskan sumber pendapatannya sebagai wakil rakyat.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab laporan yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan beliau mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan kes kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 di rumahnya.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini masih ada pihak yang cuba mengaitkan dirinya dengan rasuah, sedangkan tujuan asal beliau menyertai politik adalah untuk membersihkan politik, bukannya mendapatkan kedudukan atau wang.

“Saya sendiri yang melaporkan kes ini kepada pihak polis. Kalau duit rasuah, buat apa saya hendak laporkan? Wang yang hilang melibatkan saya dan keluarga. Kami sudah buat laporan polis. Wang untuk tujuan renovasi rumah.

“Kalau duit rasuah, kenapa kita hendak laporkan? Walaupun diberikan AP (permit import) semasa jadi menteri, saya tiada langsung membeli kereta mewah. Tiada Vellfire, tiada ‘sports car’. “Saya juga tiada aset yang mahal atau (yang) baru dibeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu FMT melaporkan bahawa SPRM mengarahkan ahli Parlimen Muar itu mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan kes kehilangan wang tunai RM250,000 di rumahnya.

Sumber berkata, arahan tersebut dibuat sewaktu agensi anti-rasuah itu menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM berkaitan rasuah.

Bulan lalu, Syed Sadiq dan 2 yang lain dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Beliau diminta menyerahkan dokumen bank bagi membantu siasatan.

SPRM melancarkan siasatan susulan aduan berkaitan kehilangan wang tunai milik ahli beliau.

Syed Saddiq membuat laporan polis pada 29 Mac lalu, mendakwa wang itu disimpan dalam peti keselamatan di rumahnya.

Tambahnya, sejak menjawat tugas sebagai menteri, beliau juga tidak memiliki rumah baru, kecuali rumah dimilikinya dan keluarga di Shah Alam sejak sebelum menjadi menteri.

“Apabila berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan, saya merupakan salah seorang menteri pertama yang mengisytiharkan aset dan juga megamalkan dasar ‘open tender’ bagi semua kontrak,” katanya.

Bahkan katanya, tidak ada seorang menteri pun yang mendapat kontrak menerus beliau kerana semua tender bebas daripada campur tangan menteri.

Syed Saddiq berkata, sehingga sekarang beliau masih tidak faham mengapa masi ada menteri yang perlu mengambil rasuah memandangkan ahli Parlimen menerima gaji dan elaun tinggi, tidak termasuk “bayaran sekali gus” yang diterima.

“Gaji menteri ditambah dengan gaji ahli Parlimen adalah sebanyak RM55,000 sebulan. Ini tidak termasuk, kalau kerap balik kawasan atau hadiri program yang jauh dari pejabat, kerana ada insentif tambahan.

“Elaun percutian pula adalah sebanyak RM70,000. Elaun makanan setiap hari sebanyak RM180 untuk setiap seorang, elaun pindah rumah RM10,000 dan elaun ‘one-off pinggan dan mangkuk sebanyak RM42,000,”katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau juga menerima “bayaran sekali gus” selepas diberhentikan sebagai menteri, susulan keputusan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri pada 24 Februari lalu menyebabkan kerajaan Pakatan harapan (PH) tumbang.

“Untuk kes ini, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk siasat. Saya sudah memberikan kerjasama yang sepenuhnya sejak kes ini mula disiasat hampir 2 bulan. Berani kerana benar,” katanya.