Polis tahan pemandu mabuk rempuh penjaja, orang awam di Bukit Sentosa

Tangkap layar rakaman video menunjukkan kenderaan pacuan 4 roda merempuh gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa.

PETALING JAYA: Polis Selangor menahan seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan 4 roda yang didakwa merempuh gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

“Setakat ini, 5 orang awam disahkan mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut. Mangsa terdiri daripada 4 lelaki dan 1 perempuan. Semua mangsa mengalami luka-luka ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Dalam kejadian ini, 2 kereta, 2 motosikal dan 2 khemah penjaja dilaporkan rosak,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azam berkata pihaknya menerima 5 laporan setakat ini.

Katanya, suspek yang juga pemborong tayar tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan/ Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Permohonan reman ke atas suspek akan di buat hari ini.”

Semalam, beberapa rakaman video yang dikongsi laman Facebook “Info Roadblock JPJ/Polis” menunjukkan pemandu Toyota Hilux membuat beberapa pusingan di dalam tapak bazar Ramadan di Hulu Selangor.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri dan kekecohan timbul di tapak bazar Ramadan berkenaan.

Khemah peniaga di tapak bazar itu turut musnah akibat dirempuh kenderaan terbabit.