4 pengarah ditahan dalam kes seleweng minyak masak bersubsidi

SPRM membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 4 pengarah syarikat disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan kuota pembekalan minyak masak bersubsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu.

“Berdasarkan pengiraan kasar SPRM, sindiket ini telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi berjumlah RM21.6 juta sejak beroperasi selama 3 tahun dan terdapat 9 syarikat yang dikawal sindiket ini.”

Beliau berkata, isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi adalah isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

Semua suspek berusia 30 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Selangor dan Putrajaya petang semalam.

“Selain itu, SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khusairi berkata, semakan dengan KPDNHEP mendapati sindiket ini diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan.

“Sepatutnya, syarikat-syarikat ini perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan 1kg dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai, khususnya masyarakat luar bandar.

“Apa yang berlaku, minyak masak bersubsidi ini tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport keluar negara.

“Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan bekalan minyak masak amat berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil.”

Selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, katanya, syarikat itu turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang dikatakan dibuat mereka.

“Kesannya dalam tempoh 3 tahun saja, sejumlah RM21.6 juta dituntut dan diselewengkan.

“Semua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.”

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.