Ketua polis Atlanta letak jawatan selepas anggota tembak mati lelaki kulit hitam

Tangkap layar video menunjukkan Rayshard Brooks bercakap dengan Garrett Rolfe di tempat letak kereta restoran makanan segera Wendy pada Jumaat. (Gambar AP)

WASHINGTON: Kematian seorang lelaki kulit hitam akibat ditembak anggota polis berkulit putih di Atlanta, Georgia, menghangatkan lagi perdebatan mengenai perkauman di Amerika Syarikat selepas satu lagi pusingan protes jalanan dan peletakan jawatan oleh ketua polis bandar itu.

Sebuah restoran makanan segera Wendy’s, lokasi kematian Rayshard Brooks, 27, dibakar pada Sabtu lalu dengan ratusan orang berarak membantah pembunuhannya.

Kematian Brooks di tangan polis yang dirakamkan kamera video dan pengawasan, ialah insiden terbaru yang mencetuskan satu gelombang protes terhadap kekejaman polis di seluruh AS.

Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms menerusi sidang media pada Sabtu mengumumkan Ketua Polis Atlanta, Erika Shields yang sudah berkhidmat lebih 2 dekad meletak jawatan.

“Saya tidak percaya ini ialah penggunaan kuasa membawa maut sewajarnya. Anggota yang menembak Brooks – dikenal pasti sebagai Garrett Rolfe – sudah dipecat.”

Kematian Brooks mencetuskan kemarahan dan kejutan di AS yang digegarkan dengan rusuhan sejak kematian lelaki kulit hitam tidak bersenjata, George Floyd ketika ditahan polis di Minneapolis, Minnesota pada 25 Mei lalu.

Pihak berkuasa di Atlanta berjanji akan menjalankan siasatan penuh ke atas kematian Brooks.

Kejadian itu bermula apabila polis menerima aduan Brooks tertidur dalam keretanya yang menghalang laluan masuk ke restoran Wendy’s.

Brooks didakwa gagal dalam ujian alkohol, serta pergelutan berlaku ketika polis cuba menahannya.

Video kejadian itu yang tersebar di media sosial menunjukkan 2 anggota polis berkulit putih bergelut dengan Brooks di tempat letak kereta.

Seorang daripada anggota polis itu menggunakan pistol renjatan elektrik ke atas Brooks, tetapi dia sempat merampas senjata itu dan melarikan diri.

Biro Siasatan Georgia (GBI), yang menyiasat pembunuhan membabitkan polis, turut mengeluarkan rakaman video pengawasan di restoran itu yang menunjukkan Brooks berpusing dan melepaskan tembakan daripada pistol renjatan elektrik itu ke arah 2 anggota polis terbabit.

Pengarah GBI, Vic Reynolds berkata seorang daripada anggota polis itu kemudiannya mengeluarkan senjatanya dan “melepaskan tembakan” ketika Brooks berpaling arah.

Brooks kemudiannya dibawa ke hospital, tetapi mati selepas pembedahan, kata GBI sambil menambah seorang daripada anggota polis itu turut cedera.

Peguam yang mewakili keluarga si mati berkata, polis menggunakan kuasa berkadar tidak seimbang dalam konfrontasi itu.

“Di Georgia, pistol renjatan elektrik bukan senjata maut – itu undang-undangnya,” kata L Chris Stewart.

“Bantuan tiba, saya rasa dalam 2 minit. Dia boleh dikepung dan terperangkap. Kenapa anda perlu membunuhnya?

“(Polis) mempunyai pilihan lain selain menembak seorang lelaki di belakangnya.”

Stewart berkata, Brooks mempunyai 4 anak dan baru menyambut ulang tahun kelahiran anak perempuannya yang berusia 8 tahun Jumaat lalu.

Kematiannya ialah kes tembakan ke-48 membabitkan anggota polis yang disiasat GBI tahun ini, menurut akhbar tempatan, Atlanta Journal-Constitution. Sebanyak 15 daripada kes itu membabitkan kematian.