SPRM di pejabat exco P Pinang berhubung projek terowong

Pegawai SPRM dilihat memasuki pejabat P Ramasamy di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di pejabat 2 exco Pulau Pinang di Komtar hari ini untuk menyoal mereka tentang projek RM6.3 bilion terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 jalan.

Empat pegawai dilihat memasuki pejabat Zairil Khir Johari manakala 3 lagi ke pejabat P Ramasamy. Mereka bagaimanapun tidak berada di pejabat pada ketika itu.

Mereka tidak menjawab pertanyaan pemberita namun difahamkan mereka meneliti dokumen di pejabat Ramasamy.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada Rabu berkata SPRM memaklumkan mereka mahu menyoal exco semasa dan sebelum ini.

Terdahulu dilaporkan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan selepas memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang pada Selasa.

Pegawai SPRM juga menyerbu kediamannya.

Sebelum ini SPRM menyerbu 3 syarikat, yang menurut sumber ketika siasatan rasuah ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang disambung semula susulan penemuan petunjuk baru.