
Bekas ketua Pemuda PPBM itu berkata, beliau maklum mengenai kenyataan Tabung Amanah Teoh Beng Hock untuk Demokrasi (Amanah TBH) yang mengkritik SPRM bahawa soal siasat yang dijalankan agensi itu selama 11 jam terhadapnya merupakan “deraan psikologi”.
“Saya ingin menjelaskan bahawa dalam sesi siasatan terhadap saya, pegawai SPRM menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan profesional dan menurut lunas undang-undang.
“Malah, saya memberi kebenaran untuk sesi siasatan pada 17 Julai 2020 diteruskan selepas waktu bekerja bagi membantu SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menghargai kesungguhan Amanah TBH dalam memastikan ketelusan siasatan SPRM.
“Berikan SPRM ruang secukupnya untuk menyiasat. Sesungguhnya kebenaran akan ditegakkan pada akhirnya.”
Pada Khamis, dalam kenyataan di media sosial, Syed Saddiq memberitahu bahawa beliau dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang tunai lebih RM250,000 di kediamannya di Petaling Jaya, Mac lalu.
Dalam hantaran di Twitter, Syed Saddiq berkata, beliau terpaksa meninggalkan persidangan Parlimen lebih awal kerana dipanggil oleh agensi tersebut bagi membantu siasatan.
“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh kepada SPRM. Saya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga saya juga telah lama isytihar harta untuk jamin ketelusan kami semua.
“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar,” katanya.
Tabung amanah itu yang bertujuan menuntut keadilan atas kematian petugas politik Teoh Beng Hock berkata, siasatan yang berpanjangan dan tidak perlu merupakan suatu bentuk deraan psikologi kerana ia “mewujudkan tekanan yang melampau, mengganggu kesihatan mental seseorang dan membenarkan berlakunya salah guna kuasa dalam tahanan”.
“Soal siasatan yang berpanjangan melanggar hak untuk berehat seperti disebut dalam Perkara 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” kata pengerusi badan itu Ng Geok Chee.
Ia menggesa kerajaan meminda undang-undang bagi menamatkan sesi soal siasat yang berpanjangan dan tidak perlu, menghapuskan semua bentuk deraan psikologi, menghormati hak tahanan untuk berehat dan menghalang daripada berulangnya tragedi yang menimpa Teoh.
Teoh ditemui mati di atas bumbung tingkat 5 ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada Julai 2009 selepas dipanggil untuk sesi soal siasat selama beberapa jam di tingkat 14 bangunan itu.