
Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa permohonan difailkan Ahmad, 54, untuk membatalkan pertuduhan dihadapinya pada 11 Feb lepas adalah pramatang.
Beliau turut berpandangan bahawa pertuduhan dihadapi bekas timbalan menteri kewangan itu tidak cacat dan berasas.
Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua pihak selepas mempertimbangkan nas undang-undang.
“Oleh itu mahkamah menolak permohonan pemohon (Ahmad),” katanya
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin.
Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 dan 2 Okt, 16 Okt, 23 Okt, 6 Nov dan 24 Dis depan selain menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria hadir bagi pihak pendakwaan.
Terdahulu, Ahmad yang berpakaian sut lengkap kelabu tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi.
Dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam borang nyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ahmad didakwa menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 Apr 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam pegawai penyiasat SPRM iaitu ketua penolong kanan penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Jul 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.