
Berita berkenaan disahkan oleh pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Hussamuddin Yaacub di laman Twitter beliau.
Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
Abd Jalil berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan turut memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Sementara itu, anaknya Asila ketika dibubungi Bernama berkata bapanya meninggal dunia pada pukul 6.30 pagi tadi.
Katanya, Jalil, 66, yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang dikejarkan ke hospital pada pukul 4.30 pagi selepas rebah di rumah.
“Jenazah perlu menjalani ujian saringan Covid-19, iaitu prosedur operasi standard (SOP). Ujian mungkin mengambil masa antara 4 hingga 8 jam sebelum dibenarkan dibawa pulang,” katanya.
Difahamkan, Jalil akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya selepas dibenarkan dibawa keluar dari hospital.