
Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu berkata, jika tidak dilakukan bermakna dakwaan Anwar hanya 1 lagi gimik politik oleh ketua pembangkang itu.
“Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengkucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang berusaha untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong bagi membentuk kerajaan baharu.
Pengumuman Anwar itu bagaimanapun dinafikan pemimpin parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin termasuk BN, PAS, PPBM, GPS, STAR dan PBS.
Faizal berkata, tindakan Anwar itu juga dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan, apabila kenyataan beliau turut dilaporkan media antarabangsa.
“Perbuatan ini tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh mencabar ini,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan kepimpinan dalam kerajaan untuk terus menumpukan segala perhatian kepada urusan pentadbiran negara.
“Kami menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin yang membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak 6 bulan lalu,” katanya.