
Difahamkan, semua 16 PBT di negeri itu belum memenuhi kuota 24 ahli majlis yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Keadaan itu mengundang spekulasi dalam kalangan parti politik, terutamanya pihak kerajaan yang dikatakan ramai individu “melobi” untuk mengisi kuota itu.
Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keadan itu bukan saja menyusahkan wakil rakyat, tetapi turut membebankan rakyat yang sukar menyalurkan permasalahan dalam komuniti masing-masing.
Katanya, ketiadaan ahli majlis juga menyebabkan PBT tidak mendapat maklum balas menyeluruh daripada sesebuah zon atau kawasan dan seterusnya membantutkan pembangunan setempat.
“Kalau lengkap, setiap PBT akan ada 24 ahli majlis, ini bermakna 24 zon diwakili, tetapi sekarang saya lihat minimum 9 (ahli majlis) jalankan tugas.
“Seorang ahli majlis terpaksa jaga 2 hingga 3 zon, ini menyebabkan tugas yang dilaksanakan tidak lagi efisien dan elaun dibayar juga tidak setimpal. Bagaimana ahli majlis yang tidak biasa dengan zon itu mahu bertugas?
“Penduduk akan hubungi ahli majlis ini, kalau ada 3 kawasan kena jaga, semua 3 kawasan hubungi dia, jadi banyaklah isu rakyat tidak boleh diselesaikan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Puah berkata, isu pelantikan ahli majlis perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan ia terus membebankan rakyat.
“Ahli majlis bukan teknokrat atau penjawat awam, mereka jumpa orang (rakyat), bawa permasalahan ke pihak PBT dan buat undang-undang kecil. Jika mereka tiada, PBT tidak akan ada input (maklum balas) terus dari akar umbi.”
Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, beliau difahamkan kawasannya di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hanya mempunyai 5 ahli majlis daripada Umno berbanding kuota keseluruhan 24 ahli majlis.
“Saya difahamkan 5 ahli majlis daripada PPBM ditamatkan perkhidmatan pada 31 Ogos lalu dan hanya seorang saja mungkin disambung perkhidmatan.
“Saya lihat permasalahan ini berpunca daripada masalah dalaman parti komponen dalam PN yang tiada kesepakatan dan mereka perlu mengetepikan masalah ini supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu.”
Sementara itu, penduduk Taman Pasak Indah di Kota Tinggi, Mohamad Faris Jasma berkata, pelantikan ahli Majlis Daerah Kota Tinggi dan Majlis Perbandaran Pengerang dalam daerah itu belum selesai.
“Sekarang, jika ada isu rumput tidak dipotong, longkang tersumbat atau sampah tidak diangkat, penduduk hanya hubungi terus PBT. Kalau sebelum ini, ada ahli majlis untuk mereka suarakan aduan.”