
“Saya amat yakin anda akan mula melihat penurunan kadar kematian, begitu juga dengan jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital; berapa cepat angka itu akan turun atau sejauh mana ia berkurangan, banyak bergantung kepada pelbagai keadaan.
“Keadaan seperti cuaca sejuk, orang ramai banyak melakukan aktiviti di dalam rumah serta sejauh mana keberkesanan garis panduan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit),” kata Fauci ketika ditemu ramah Greta Van Susteren yang dipetik akhbar The Hill.
Fauci yang menjadi ketua penasihat perubatan Presiden AS menasihati orang ramai terus memakai pelitup muka ketika menyertai sebarang perhimpunan di luar, sama ada mereka sudah lengkap divaksin atau tidak.
“Mujur ketika ini, sejak beberapa minggu terakhir, kita menyaksikan lekuk yang mula menampakkan penurunan untuk kedua-dua kes – kematian dan pesakit yang dimasukkan ke hospital. Angka kematian masih meningkat, tetapi mula mendatar, jadi ia satu petunjuk ia semakin perlahan,” katanya dalam temu ramah yang disiarkan pada Ahad.
Bulan lalu, pakar kawalan penyakit berjangkit memberi amaran varian Delta terus menjadi kebimbangan utama di AS yang menyaksikan lonjakan kes baharu sehingga 98% berbanding 13% pada Jun lalu.
AS mencatatkan kadar kes dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia. Menurut data terbaru Universiti Johns Hopkins, AS mencatatkan lebih 44.3 juta kes sejak permulaan wabak dan jumlah kematian melebihi 712,000 kes.
Awal bulan ini, ketika angka korban Covid-19 melepasi 700,000 kes, Presiden Joe Biden berkata, berdasarkan fakta kematian, penyakit itu terus meningkat memberi makna lebih ramai rakyat AS perlu mendapatkan vaksin.