Singapura sahkan 1 kes tempatan cacar monyet, babit warga Malaysia

Singapura sahkan 1 kes tempatan cacar monyet, babit warga Malaysia

Keadaannya pesakit kini dilaporkan stabil dan kes itu tiada kaitan dengan kes import seperti diumum Kementerian Kesihatan Singapura pada 21 Jun.

Sehingga 6 Julai, tiga kontak rapat pesakit itu telah dikenal pasti membabitkan dua rakan serumah dan satu kontak sosial. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura mengesahkan satu kes tempatan jangkitan cacar monyet di republik itu melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di republik itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), pesakit itu disahkan positif cacar monyet pada 6 Julai dan kini dimasukkan ke wad di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).

“Keadaannya stabil. Kesnya tiada kaitan dengan kes import yang diumum MOH pada 21 Jun,” menurut kementerian itu dalam kenyataan dikeluarkan di laman sesawangnya Rabu malam.

Menurut kementerian, kes itu pada awalnya mengalami ruam pada kulit bahagian bawah perut pada 30 Jun, dan kemudian mengalami keletihan dan bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai.

Kes mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Julai dan mendapatkan rawatan perubatan. Pesakit turut menjalani ujian awal untuk mengesan kemungkinan ada masalah lain.

“Apabila ujian itu kembali negatif, kes kemudiannya dihantar ke NCID pada 6 Julai, untuk menjalani kuarantin dan penilaian lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sehingga 6 Julai, tiga kontak rapat telah dikenal pasti membabitkan dua rakan serumah dan satu kontak sosial.

“Semua kontak rapat pesakit akan dikuarantin selama 21 hari dari kali terakhir mereka berhubung. Pengesanan kontak sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.