Korea Selatan hasrat sertai Filipina bangun tenaga nuklear

Korea Selatan hasrat sertai Filipina bangun tenaga nuklear

Korea Selatan ingin menjadi rakan kongsi terbaik Filipina dalam pembinaan loji kuasa nuklear pada masa hadapan, menurut Kementerian Luar.

Cho Tae-yul
Menteri Luar Korea Selatan Cho Tae-yul menyatakan hasrat menyertai Filipina dalam usaha membangunkan tenaga nuklear dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya,Enrique Manalo. (Gambar AP)
SEOUL:
Korea Selatan berhasrat menyertai Filipina dalam usaha membangunkan tenaga nuklear di negara Asia Tenggara itu.

Kementerian Luar Korea Selatan berkata, Menteri Luar Korea Selatan Cho Tae-yul menyatakan hasrat itu dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Filipina Enrique Manalo.

“Cho menekankan kepentingan loji tenaga nuklear yang merupakan sumber tenaga sangat diperlukan untuk campuran tenaga rasional, dan menyatakan bahawa Korea Selatan ingin menjadi rakan kongsi terbaik Filipina dalam pembinaan loji kuasa nuklear pada masa hadapan,” menurut kenyataan kementerian itu pada Rabu.

Selain itu, Kementerian Luar berkata, syarikat Korea Selatan ingin terus mengambil bahagian dalam projek untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan Filipina.

Menurut kementerian itu, Korea Selatan dan Filipina berada di lokasi utama di rantau Indo-Pasifik yang mana mereka perlu memperkukuh ‘komunikasi strategik untuk keamanan dan kemakmuran serantau’.

Dalam hal ini, katanya, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan satu lagi mesyuarat dialog maritim dua hala pada November, selain bekerjasama meningkatkan tahap keseluruhan hubungan menjelang akhir tahun dengan memperluas bidang kerjasama termasuk industri pertahanan, infrastruktur, pertanian dan tenaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.