Cuba buka pintu kecemasan ketika pesawat terbang, warga Jordan ditahan

Cuba buka pintu kecemasan ketika pesawat terbang, warga Jordan ditahan

Lelaki berusia 46 tahun itu cuba buka pintu kecemasan di bahagian belakang dan tengah pesawat.

sydney airport
Suspek ditahan sejurus pesawat tiba di Lapangan Terbang Sydney, menurut polis Australia. (Gambar EPA Images)
ANKARA:
Warga Jordan ditahan dan didakwa kerana membahayakan keselamatan penerbangan dari Malaysia ke Sydney serta menyerang seorang kru kabin selepas lelaki itu cuba membuka dua pintu kecemasan pesawat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Polis Persekutuan Australia.

Polis dalam kenyataan memaklumkan, tertuduh berusia 46 tahun cuba membuka pintu kecemasan di bahagian belakang pesawat semasa penerbangan.

Menurut polis, lelaki itu kemudian diarah kakitangan syarikat penerbangan untuk duduk di bahagian tengah pesawat, namun dia sekali lagi cuba membuka pintu kecemasan di bahagian itu.

“Lelaki berkenaan kemudian dihalang oleh kru serta penumpang dan semasa itu dia didakwa menyerang seorang kakitangan syarikat penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Polis berkata setiap kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.

Lelaki itu ditahan sejurus pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Sydney dari Kuala Lumpur dan akan dihadapkan ke sebuah mahkamah tempatan atas dua pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat dan satu pertuduhan menyerang kru kabin.

“Tindakan lelaki ini boleh membawa akibat yang tragis dan penumpang serta kakitangan penerbangan tidak sepatutnya berdepan dengan tingkah laku yang tidak terkawal, ganas atau berbahaya dalam penerbangan,” kata Detektif Pemangku Davina Copelin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.