
Ini hanyalah permulaan, nasihat dari Yusuf Hashim kepada mereka yang berjiwa muda, kerana Yusuf sendiri sedang menjalani kehidupan yang menjadi impian ramai.
Kehidupan yang membuat ramai pengembara Instagram iri hati dengan lokasi-lokasi menakjubkan yang pernah diterokai Yusuf.
Yusuf yang menggelarkan dirinya “gypsetter” – gabungan “gypsy” dan “jetsetter” – bersara pada usia “muda” iaitu 53 tahun dan sejak itu, dia telah mengembara ke lebih 140 buah negara.
Pengembaraannya bukan bermula dari dalam kabin kelas satu, tetapi dari kenderaan pacuan empat roda berusia 20 tahunnya yang telah dibaiki. Sambil dia menterjemahkan ‘minat yang berubah menjadi obsesi’ – fotografi.
Dia memandu pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke kota London, dua kali, mengikut jalan darat, mengelilingi benua Amerika Selatan dan melintasi padang pasir Sahara, dengan kereta yang sama, lengkap peralatan perkhemahan dan alat ganti.
“Sudah tentu saya lebih suka hotel, tetapi tempat yang tidak ada hotel, seperti di padang pasir, kami berkhemah.”
Sesuailah dengan gelaran “gypsetter”: “Seseorang yang suka dengan kemewahan jet tetapi tidak keberatan mengambil laluan gipsi yang belum pernah dilalui sesiapa,” kata Yusuf kepada FMT.
Anak kelahiran Perak itu sudah berusia 75 tahun, bapa kepada empat anak dan datuk kepada 15 cucu, dan beberapa minggu sebelum wabak Covid-19 melanda setahun yang lalu, dia baru sahaja kembali ke Malaysia dari pengembaraan terakhirnya ke Antartika.
Di situ lah dia membawa isterinya untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50.
Bersara lebih awal, hidup lebih lama

Namun, mengembara bukanlah satu-satunya aktiviti selepas persaraan, kata alumni Kolej Tentera Diraja dan bekas veteran industri minyak dan gas itu.
Yusuf percaya “kita semua harus bersara seawal mungkin, kerana terdapat hubungan berkadar songsang di antara usia bila anda bersara dan bila anda mati,” tambahnya, memetik dari kajian Boeing.
Kajian Boeing tersebut menunjukkan bahawa rata-rata mereka yang bersara pada usia 65 tahun hidup selama 18 bulan atau kurang, sementara mereka yang bersara pada usia 50-an hidup lebih lama hingga usia 80-an.
Kajian itu pernah dipertikaikan dan pernah dilabel sebagai mitos urban oleh seorang pengulas.
Namun, beberapa kajian akademik yang tidak berkaitan menunjukkan bahawa untuk setiap tahun seseorang terus bekerja melepasi usia persaraan yang disyorkan, iaitu 55 tahun, mereka akan kehilangan dua tahun daripada jangka hayat mereka.
‘Belanjakan wang pusaka anak-anak anda’

Namun, Yusuf tidak teragak-agak untuk mengambil langkah pertama dalam pengembaraannya selama 22 tahun menyeberangi benua dengan kereta, menyampaikan bengkel fotografi secara percuma di Antartika atau mendaki ke kem pangkalan Monte Fitz Roy di Patagonia, di sempadan antara Argentina dan Chile pada usia 70 tahun.
Tetapi dia juga ingin menyampaikan beberapa pesanan, sama dengan yang apa yang disampaikan kepada pekerja-pekerja bank dan pelabur di seminar KWSP beberapa tahun lalu, tentang bagaimana untuk membuat wang anda bertambah, tetapi yang lebih penting, membayangkan semula konsep persaraan.
Salah satu pesannya adalah seseorang harus bekerja keras, menabung (‘mengumpulkan modal dan menangguhkan perbelanjaan’) dan apabila tiba waktu untuk bersara, belanjakan wang yang telah diketepikan sebagai harta pusaka untuk anak-anak itu.
“Ia bukan wang anda sehingga anda membelanjakannya,” katanya.
Peratusan terkecil dalam hidup anda
Purata jangka hayat lelaki Malaysia setelah semua perkara dipertimbangkan, adalah 76 tahun. Sebilangan mungkin hidup lebih lama, dan ada yang akan mati lebih awal, katanya.
“Anda menghabiskan 23 tahun hidup anda dengan mengejar ijazah. Selepas itu, anda memasuki bidang pekerjaan dan bekerja sehingga usia 55 atau 65 tahun, bergantung kepada kecenderungan atau keadaan.
“Itu meninggalkan, kira-kira 11 atau 21 tahun untuk menikmati persaraan, tetapi ia masih peratusan terkecil dalam carta pai kehidupan anda,” ujarnya.
Menurutnya lagi, “Setelah anda menyelesaikan tugas sebagai ibu bapa, memasukkan anak-anak ke institut pengajian tinggi, dan membuat simpanan dan pelaburan untuk membiayai persaraan, anda harus sedar untuk menghentikan fasa pekerjaan dalam hidup anda, dan mula menghabiskan harta pusaka anak-anak anda,” katanya.
“Sekiranya anda seorang yang “workaholic” dan terus bekerja pada usia 70-an, anda hanya akan memperoleh lebih banyak wang yang tidak dapat dibelanjakan,” tambahnya, kecuali “workaholic” itu berhenti bekerja hanya apabila dia tidak mampu disebabkan oleh penyakit atau kecacatan fizikal akibat usia tua.
Dia menyimpulkan, “Oleh itu, wang anda sebenarnya bukan milik anda jika anda mati sebelum membelanjakannya. Anak-anak anda yang akan membelanjakannya dan pegawai cukai akan mengambilnya.”
Dan bagaimana perasaan anak-anaknya tentang si ayah menghabiskan harta pusaka mereka?
“Mereka tidak boleh buat apa-apa!” katanya sambil ketawa.

Mengetepikan prasangka
Selain memperluas horizon seseorang dan membentuk apresiasi yang lebih mendalam terhadap budaya lain, terdapat sebuah pengajaran utama daripada pengembaraannya yang ingin dia kongsikan.
“Ketika anda mengembara, anda menyedari betapa kecil dan indahnya planet ini,” kata Yusuf.

“Perkara terbaik yang anda temui adalah tidak kira apa juga warna kulit seseorang, tuhan yang mereka sembah, di mana mereka tinggal atau bahasa apa yang mereka guna, setiap manusia inginkan perkara yang sama iaitu makanan, tempat tinggal, keselamatan, perlindungan, cinta dan kebahagiaan – sama seperti apa yang anda dan saya mahukan,” katanya.
Yusuf percaya, mengembara boleh membantu seseorang mengenepikan ketaksuban dan rasisme mereka.
Jika ada sesiapa yang menganggap penampilan pengembara berambut liar itu adalah akibat pandemik sehingga peminatnya memanggil dia Gandalf, Yusuf tertawa sambil menjelaskan.
“Saya fikir lebih baik membelanjakan wang untuk mengembara daripada membelanjakannya untuk memotong rambut,” katanya.
Nikmati gambar-gambar Yusuf yang luar biasa dan kisah perjalanannya di halaman Facebooknya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]