Memperingati sedekad gempa bumi, tsunami Jepun

Memperingati sedekad gempa bumi, tsunami Jepun

Wartawan AFP berkongsi kisah dan mengimbau kenangan pilu ketika dilanda bencana itu.

Gambar yang diambil pada 11 Mac, 2011 sewaktu tsunami melanda di Jepun. (Gambar AP)

Pada Mac 2011, salah satu gempa bumi paling kuat melanda Jepun hingga mencetuskan tsunami dan krisis nuklear di negara itu.

Sedekad selepas kejadian yang menyebabkan kira-kira 18,500 sama ada maut atau hilang, wartawan AFP kembali ke tempat kejadian sempena memperingati bencana alam terburuk itu.

Empat daripada wartawan yang terbabit membuat liputan itu turut melaporkan dari Tohoku untuk AFP sebaik bencana melanda iaitu Shungi Ito dan Hiroshi Hiyama, jurugamber Kazuhiro Nogi dan wartawan video, Harumi Ozawa.

Ini adalah kisah dan pengalaman yang diceritakan oleh mereka ketika membuat liputan bencana itu dan kembali ke lokasi sama selepas 10 tahun.

Gempa bumi dengan kekuatan 9.0 magnitud melanda Jepun pada jam 2.46 petang ketika Nogi masih berada di dalam keretapi di Tokyo.

“Saya keluar terus menyelamatkan diri namun gempa terlalu kuat menyebabkan saya sukar berjalan dengan betul,” katanya.

Sebaik keluar, dia melihat beberapa bangunan pencakar langit turut bergoyang ketika suasana cemas itu berterusan.

Nogi dengan kumpulan itu terus ke kawasan terjejas dan tiba di Minamisoma di wilayah Fukushima pada keesokan harinya.

Manakala Hiyama berkata, sebaik tiba di dewan bandaraya Minamisoma, keadaan masih baik namun bandar terbabit seakan lenyap ketika mereka memandu menuju ke arah pantai.

Ozawa berada di wilayah itu kira-kira setahun sebelum bencana ketika orang ramai diminta berpindah kerana gempa bumi di Chile mencetuskan tsunami.

Ketika itu, dia bertemu seorang wanita di pusat perlindungan mangsa bencana di sebuah sekolah yang kehilangan anak lelaki lima dekad lalu ketika cuba menyelamatkan diri daripada bencana tsunami.

“Wanita itu menyangkakan bayinya dapat diselamatkan namun mangsa mungkin tercicir daripada ikatan kimono dipakainya dan hanya menyedari perkara itu sebaik tiba di tempat lebih selamat,” kata Ozawa.

Ketika Ozawa kembali ke Minamisanriku pada April 2011, dia mendapati bandar itu lenyap sepenuhnya dan hanya teringat kepada wanita yang ditemui itu.

“Saya mendapat tahu air naik hingga ke paras puncak bukit iaitu lokasi letaknya sebuah sekolah,” katanya.

Beberapa wartawan itu dikatakan sering kembali untuk melihat kawasan di wilayah Tohoku namun setiap kali ke situ, perjalanan mereka penuh dengan emosi termasuk kunjungan terbaru Ozawa ke Fukushima tahun ini.

“Kali pertama dalam kerjaya, saya tidak dapat menahan air mata,” ujarnya.

Seorang lelaki berusia 83 tahun memberitahu kami bagaimana dia kehilangan isteri akibat dihanyutkan tsunami.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.