
Tanpa berlengah, dia terus membawa kucing tersebut ke doktor haiwan dengan kos rawatan kakinya mencecah RM6,000.
Pembedahan memasukkan plat logam berjaya dilakukan selepas mengumpul wang sumbangan secara “crowdfunding” daripada orang ramai.
Menurut Sherrina, kucing itu kini hidup dengan penuh kasih sayang bersama keluarga dari Britain yang melayannya tidak ubah seperti putera raja.
Hari ini, kucing belang oren ini antara ‘model’ menghiasi halaman buku 258 Inspirasi Kucing yang diterbitkan baru-baru ini.
Sherrina, 50, yang juga pengasas NGO haiwan tempatan Pet Adoption Network Malaysia, menjelaskan kepada FMT bahawa perniagaan penerbitan videonya terjejas teruk akibat pandemik.
Namun, dia yang dibesarkan dengan semangat Wawasan 2020 Malaysia itu tidak patah semangat, malah gigih mahu memastikan ada sesuatu yang baik untuk dikenang dari tahun 2020.

“Saya memang sebelum ini mempunyai koleksi gambar semua haiwan yang telah kami selamatkan sejak tiga atau empat tahun lalu.
Tambahan pula, kami tidak kekeringan sumbangan kerana orang ramai sering mendermakan wang kepada kami disebabkan menyedari betapa kami berusaha dan bergelut terutama dari segi kewangan untuk mengasi haiwan yang diselamatkan.
“Itu antara perkara yang paling tidak saya gemari dalam melakukan kerja-kerja menyelamatkan haiwan ini – meminta wang daripada orang ramai,” katanya berterus-terang.
Disebabkan itu, dia mahu mencari cara ‘membayar balik’ komuniti yang begitu bermurah hati membantu pihaknya, maka Sherrina telah membuka komputer ribanya dan mula menukilankan buku itu.
Sambil ketawa, Sherrina mengaku pada mulanya dia bercita-cita membuat buku 101 Inspirasi Kucing dan 101 Inspirasi Anjing, namun kerana begitu asyik dengan projek itu sehingga jumlah inspirasi dihimpunkan mencapai sebanyak 258.
“Sebenarnya saya mampu memikirkan sehingga 365,” katanya, namun terpaksa mengehadkan kepada 258 disebabkan kos pencetakan.
Malah, Sherrina turut menggunakan sebahagian simpanan KWSP selain mendapatkan bantuan rakan-rakan untuk merealisasikan impiannya itu.
“Saya mahu memastikan wang itu digunakan untuk sesuatu yang penting, dan buku ini memang sempurna bagi tujuan itu. Malangnya, kami hanya mampu menerbitkan 258 Inspirasi Kucing kerana kekurangan dana untuk projek sama membabitkan anjing.”
Bagaimanapun, Sherrina masih berharap dapat meneruskan projek untuk anjing-anjing yang diselamatkan organisasinya jika mampu menghimpunkan wang diperlukan satu hari nanti.
“90% kucing di dalam buku ini diselamatkan di Malaysia dan kini tinggal bersama keluarga yang menyayangi mereka. Baki 10% pula merupakan kucing berbaka tulen yang gambarnya telah dihantarkan kepada kami.”
Dia turut berkongsi rahsia bagaimana berjaya mengambil gambar yang begitu comel, kerana kucing bukanlah haiwan yang gemar bergaya untuk kamera.
“Sebenarnya, anda perlu bersabar dan duduk diam-diam dengan kamera dalam keadaan bersedia,” katanya.

Buku itu turut menyertakan nama kucing, tuannya dan diakhiri kata-kata hikmah pada hujung muka surat.
Selain itu, buku berkenaan turut memuatkan petikan personaliti terkenal Malaysia seperti pejuang hak asasi manusia Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan, novelis, mendiang KS Maniam, dan pengarah filem Allahyarham Yasmin Ahmad.
Segala usaha kerasnya dianggap berbaloi selepas buku itu akhirnya diterbitkan dan dijual kepada umum pada 16 Disember lalu malah lebih menggembirakan buat Sherrina apabila pelanggannya rata-rata gembira dengan hasil tersebut.
“Seorang wanita berusia 65 tahun membeli buku itu dan dalam tempoh sejam selepas menerimanya, beliau menghantar pesanan ringkas memberitahu betapa buku itu begitu menyeronokkan dan membuatnya tersenyum malah dia tidak dapat berhenti membeleknya walaupun sudah berada di pejabat.
“Seorang lagi wanita yang terpaksa melalui kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 dan perkara pertama dibuatnya adalah memastikan buku itu dibawa bersamanya.
“Katanya, sepanjang 14 hari kuarantin gambar-gambar comel kucing kami yang membantunya menguatkan semangat,” cerita Sherrina lagi.
Antara kisah paling mengharukan bagi Sherrina adalah Muppy Colvin, kucing terabai yang ditemukan dalam keadaan kotor ketika pandemik.

“Pasangan Kylie dan Ben Colvin, semakin bertegang urat ketika pandemik dan akhirnya Ben berjaya memujuk Kylie membela seekor kucing jadi mereka datang kepada kami dan terus jatuh cinta dengan Muppy. Kylie sebenarnya alah dengan kucing, namun Ben memang pencinta kucing. Kini Muppy menjadi penghibur kesayangan pasangan ini,” ujarnya.
Malah, kucing kesayangan Sherrina sendiri, Mystycat yang diselamatkannya 20 tahun lalu di Bangsar turut tidak ketinggalan menghiasi buku itu. Kucing comel itu menghidap leukemia selama lapan tahun namun akhirnya mati disebabkan usia tua pada 2020.
“Dialah buah hati kesayangan saya malah penguat semangat, terutama ketika mula terbabit dalam kerja menyelamatkan haiwan,” katanya.

Sherrina berharap buku yang dipenuhi gambar comel dan nakal kucing-kucing serta kata-kata inspirasi ini dapat membantu lebih ramai orang, daripada kanak-kanak yang mungkin baru mula membaca hinggalah ibu bapa yang memerlukan sedikit sinaran dalam kehidupan harian mereka.
Buku 258 Inspirasi Kucing boleh dibeli di Shopee di sini dengan harga cuma RM39.90.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]