Yang di-Pertua Dewan Rakyat mesti benar usul undi tak percaya, kata peguam

Yang di-Pertua Dewan Rakyat mesti benar usul undi tak percaya, kata peguam

Bastian Pius Vendargon berkata usul seperti itu mesti dibenarkan kerana berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata Tengku Razaleigh Hamzah perlu berunding dengan Takiyuddin Hassan berhubung usul tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Parlimen tidak boleh tunduk kepada badan eksekutif apabila seorang ahli Parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, kata peguam.

Bastian Pius Vendargon berkata, usul seperti itu mesti dibenarkan kerana berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kepatuhan badan legislatif kepada anggota Kabinet bercanggah dengan prinsip pemisahan kuasa.

“Badan eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan sebaliknya. Ini bermaksud perdana menteri dan Kabinetnya bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Vendargon berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, sebarang usul undi tidak percaya tidak boleh dibahas tanpa penerimaan seorang menteri.

Terdahulu, dilaporkan Azhar memberitahu ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bagi membolehkan usul persendirian diberi keutamaan dan dibentang di Dewan Rakyat.

Putera Kelantan itu dalam suratnya bertarikh 25 September lalu kepada Azhar berkata, usul undi tidak percaya dibawa ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad amat penting atas beberapa sebab, ini termasuk membabitkan kesahihan kerajaan sekarang.

Dalam surat kepada Tengku Razaleigh bertarikh 29 September, Azhar berkata, beliau terikat dengan peraturan Dewan Rakyat dan “tidak ada masalah” untuk mempertimbangkan usul persendirian jika semua urusan kerajaan selesai atau terdapat usul daripada menteri bawah Peraturan 14(2) untuk mendahulukan usul persendirian.

Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Mahathir selama 22 bulan.

Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuainya terdiri daripada PPBM, Barisan Nasional (Umno, MCA dan MIC), PAS, GPS serta sebahagian ahli Parlimen Sabah.

Vendargon berkata, keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya sama seperti menentang Perkara 43(2) (a), ciri asas dalam perlembagaan.

“Agong melantik Muhyiddin (ahli Parlimen Pagoh), yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

“Kesahihannya kemudian mesti diuji dan diselesaikan di Dewan Rakyat yang mana beliau mesti mendapat sokongan 112 ahli Parlimen untuk terus memegang jawatan,” katanya.

Vendargon berkata, Yang di-Pertua mesti memberi kesan kepada Perkara 43(2) dengan mengambil pendekatan prismatik kerana perlembagaan adalah dokumen yang berkembang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.